Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes tembakan dalam kereta api di Chicago, empat terbunuh

    WASHINGTON, 3 SEPT – Sekurang-kurangnya empat orang ditembak mati di dalam kereta api di bandar Chicago di Amerika Syarikat (AS) kelmarin, kata polis, dengan seorang suspek ditahan sejurus selepas kejadian tembakan besar-besaran itu berlaku.

    Polis berkata mereka menjawab panggilan talian kecemasan 911 pada awal pagi kelmarin, tiba di stesen kereta api Forest Park di mana mereka menemui empat mangsa.

    “Tiga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, yang keempat telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Loyola di Maywood, yang kemudiannya disahkan (meninggal dunia),” kata satu kenyataan polis.

    Keganasan senjata api adalah perkara biasa di AS, sebuah negara yang mempunyai lebih banyak senjata api daripada manusia. Percubaan untuk memperketatkan hak pemilikan senjata sentiasa mendapat tentangan politik.

    Polis Chicago mengeluarkan keterangan mengenai suspek berdasarkan rakaman pengawasan, dan seorang suspek kemudiannya telah ditahan bersama senjata api yang ditemui, kata kenyataan itu.

    “Ia nampaknya insiden terpencil tanpa ancaman segera kepada masyarakat,” kata kenyataan itu.

    Chicago mengendalikan salah satu rangkaian pengangkutan awam terbesar di AS, dengan lebih 317,000 orang menggunakan sistem kereta apinya pada hari purata bekerja, menurut Pihak Berkuasa Transit Chicago.

    “Ia adalah keadaan yang mengerikan. Ia pasti sesuatu yang awda tidak mahu bangun (untuk hadapinya). Ia berlaku pada hari cuti Isnin,” kata pegawai polis Christopher Chin kepada pemberita, merujuk kepada cuti Hari Pekerja di AS. – AFP

    Pita kuning kelihatan di tempat letak kereta stesen kereta api Forest Park Blue Line di Forest Park, Illinois, setelah empat orang maut ditembak di dalam kereta api tersebut pada 2 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda