Tuesday, September 17, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEU anjur taklimat persediaan sambutan Maulud

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT- Seperti lazimnya, acara kemuncak sambutan maulud di peringkat negara ialah perhimpunan dan perarakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

    Sehubungan itu, Perhimpunan dan Perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi Tahun 1446 Hijrah akan diadakan serentak di seluruh negara pada hari Isnin, 16 September bermula pukul 7 pagi dengan tema Memelihara Akal Berpandukan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

    Bagi memastikan kelancaran majlis tersebut, satu taklimat dan perjumpaan berhubung dengan sambutan berkenaan diadakan pagi ini bertempat di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Perjumpaan dipengerusikan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Dr. Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh yang juga bertindak selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perhimpunan dan Perarakan bagi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi Tahun 1446 Hijrah, dengan tujuan untuk memberi taklimat dan penerangan berkenaan dengan format perhimpunan dan perarakan kepada ketua-ketua pasukan yang akan mengambil bahagian semasa perhimpunan itu nanti.

    Dr. Haji Hardifadhillah memberikan taklimat berkenaan.
    Antara yang hadir ke taklimat berkenaan.

    Agensi-agensi yang turut menyertai taklimat berkenaan adalah Jabatan Adat Istiadat Negara, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bandaran, Bahagian Kenderaan dan Pengangkutan, KHEU dan juga Urus Setia Majlis.

    Pada tahun ini, perhimpunan, perarakan dan perbarisan dibahagikan kepada lima kategori iaitu kategori pasukan tidak bernombor; kategori kementerian-kementerian; kategori institusi pengajian tinggi/ maktab/ sekolah Arab/ sekolah menengah swasta; kategori kampung dan masjid dan juga kategori persatuan dan sektor swasta.

    Taklimat berkenaan diharap dapat memberi kefahaman kepada wakil ketua-ketua pasukan mengenai perkara-perkara yang berbangkit bagi memastikan perjalanan perhimpunan dan perarakan pada tahun ini akan berjalan lancar dan sempurna seperti yang dihasratkan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda