Friday, September 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komited tingkat pengurusan bencana serantau

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman telah mengetuai delegasi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Negara Brunei Darussalam ke Dialog Dasar Strategik mengenai Pengurusan Bencana (SPDDM) ASEAN 2024 yang berlangsung di Republik Singapura dari 22 hingga 24 Ogos.

    Menurut kenyataan KHEDN, di sini, turut hadir semasa SPDDM 2024 berkenaan ialah Timbalan setiausaha tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di KHEDN, pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) serta pegawai-pegawai kanan dari KHEDN dan NDMC.

    Dialog itu telah dihadiri oleh menteri-menteri pengurusan bencana, setiausaha agung ASEAN, ketua-ketua organisasi antarabangsa dan ketua-ketua organisasi pengurusan bencana negara-negara anggota ASEAN.

    Yang Berhormat Dato selaku Pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN bagi Pengurusan Bencana (AMMDM) dalam ucapan alu-aluannya semasa Acara Pembukaan Rasmi SPDDM berkenaan, menekankan kepentingan untuk membina rantau ASEAN berdaya tahan dengan infrastruktur yang kukuh, sistem amaran awal dan jaringan sosial yang kuat, merangkumi semua lapisan masyarakat bagi saling bekerjasama.

    Dalam hal itu, SPDDM juga memainkan peranan yang penting dalam penyediaan Program Kerja Perjanjian ASEAN terhadap Pengurusan Bencana dan Respons Kecemasan (AADMER) 2026-2030 untuk dijadikan panduan bagi ASEAN dalam meningkatkan tahap dan kualiti pengurusan bencana serantau sebagai peneraju antarabangsa dalam pengurusan bencana.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bergambar ramai bersama menteri-menteri ASEAN pada mesyuarat yang berlangsung di Republik Singapura. – GAMBAR SERAHAN KHEDN

    Beliau seterusnya mengongsikan komitmen dan usaha Brunei dalam persediaan menghadapi bencana, tindak balas, pemulihan dan kerjasama serantau di antara Brunei Darussalam dengan negara-negara anggota ASEAN terutama dalam menghadapi cabaran-cabaran masa hadapan termasuk perubahan iklim.

    Ia termasuk usaha Brunei dalam membina pendekatan yang inklusif bagi memastikan semua masyarakat dan komuniti di rantau ini termasuk wanita, kanak-kanak dan masyarakat yang tinggal di pedalaman turut dilibatkan dalam sama-sama memainkan peranan penting dalam pengurusan bencana.

    SPDDM merupakan persidangan peringkat tertinggi yang diungkayahkan setiap tahun sejak 2015 oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Sekretariat ASEAN dan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (Pusat AHA) bagi perkongsian pengalaman dan pertukaran pengetahuan antara ASEAN dan organisasi-organisasi antarabangsa dalam merangka hala tuju strategik bagi badan sektoral Jawatankuasa Pengurusan Bencana ASEAN (ACDM) yang mana Negara Brunei Darussalam merupakan pengerusi pada 2024.

    SPDDM 2024 membawakan tema It Takes a Village: Inclusive Approaches to Enhance Disaster Resilience, di mana ia membincangkan mengenai idea-idea jangka masa panjang untuk memperkukuhkan penglibatan komuniti dalam meningkatkan ketahanan bencana di rantau ASEAN melalui pendekatan pelbagai aspek.

    Tema SPDDM 2024 juga menyokong tema bagi AMMDM dan ACDM yang akan diadakan di Negara Brunei Darussalam tahun ini iaitu Building a Resilient ASEAN through Inclusive and Sustainable Disaster Recovery.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda