Saturday, May 4, 2024
27.4 C
Brunei

    -

    Kotak hitam pesawat Nepal dihantar ke Singapura

    KATHMANDU, NEPAL, 26 JAN – Kotak hitam yang ditemui daripada insiden pesawat nahas di Nepal dihantar ke Singapura untuk analisis bagi mengenal pasti punca nahas yang mengorbankan kesemua 72 penumpang di dalamnya, kata pegawai kelmarin.

    Perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit akan diperiksa oleh pakar di Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura.

    “Pasukan penyiasat Nepal akan berlepas esok bersama perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit di mana data akan dimuat turun dan dianalisis,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam, Rajendra Kumar K.C.

    Pada awalnya kotak hitam itu dicadangkan dibawa ke Perancis di mana pesawat itu dibuat, tetapi pihak berkuasa Nepal kini merancang untuk menghantar perakam itu ke Singapura.

    Sebuah jawatankuasa yang dibentuk oleh kerajaan masih meneliti punca nahas penerbangan Yeti Airlines.

    Perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit didedahkan selepas ia diambil dari lokasi nahas pesawat penumpang di Pokhara, Nepal, pada 16 Januari. – AP

    Pasukan penyelamat sedang mencari mayat dua orang yang masih hilang sejak nahas 15 Januari lalu di bandar peranginan Pokhara, 200 kilometer barat ibu negara, Kathmandu.

    Pesawat ATR 72-500 enjin berkembar itu sedang menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Pokhara di kaki bukit Himalaya apabila ia terjunam ke dalam gaung kira-kira 1.6 kilometer dari landasan pada ketinggian kira-kira 820 meter.

    Walaupun punca nahas masih tidak jelas, beberapa pakar penerbangan berkata video yang diambil dari bawah pada saat-saat terakhir pesawat menunjukkan ia terhenti di udara, walaupun tidak jelas penyebabnya.

    Ia membawa 68 penumpang, termasuk 15 warga asing, serta empat anak kapal. Warga asing itu termasuk lima warga India, empat warga Rusia, dua warga Korea Selatan dan masing-masing seorang dari Ireland, Australia, Argentina dan Perancis.

    Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal juga berkata sistem pendaratan instrumen lapangan terbang tidak akan berfungsi sehingga 26 Februari, tempoh lapan minggu selepas lapangan terbang itu mula beroperasi pada 1 Januari.

    Pakar keselamatan penerbangan berkata, ketiadaan itu mencerminkan rekod keselamatan udara Nepal yang lemah ditambah lagi dengan permukaan muka bumi yang bergunung-ganang dan keadaan cuaca yang berubah-ubah menyebabkan kesukaran dalam melakukan penerbangan. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...