Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah EU tolak rayuan TikTok terhadap peraturan digital baharu

    LUXEMBOURG, 17 JULAI – TikTok hari ini gagal dalam rayuannya untuk mengelakkan peraturan digital baharu yang bertujuan untuk mengehadkan kuasa syarikat teknologi besar selepas mahkamah Kesatuan Eropah (EU) menolak cabarannya.

    Undang-undang EU yang dikenali sebagai Akta Pasaran Digital (DMA) mula berkuat kuasa pada Mac, dengan pengawal selia percaya ia akan mewujudkan pasaran yang lebih adil.

    Suruhanjaya Eropah telah menetapkan enam ‘penjaga pintu’ di bawah DMA yang akan menghadapi sekatan iaitu Alphabet, syarikat induk Google, Amazon, Apple, Meta, Microsoft dan ByteDance, pemilik TikTok, satu-satunya syarikat bukan Amerika Syarikat (AS).

    EU menyatakan pada Mei bahawa Booking juga perlu mematuhi undang-undang tersebut dan memberi agensi pelancongan dalam talian itu enam bulan untuk bersedia.

    Keputusan oleh Mahkamah Agung yang berpangkalan di Luxembourg itu merupakan penghakiman pertama terhadap cabaran DMA oleh syarikat teknologi besar, dengan kes yang difailkan oleh Apple dan Meta masih belum selesai. “Mahkamah menolak tindakan ByteDance,” katanya. TikTok boleh merayu keputusan tersebut dalam tempoh dua bulan dan 10 hari dari tarikh keputusan.

    TikTok menegaskan bahawa ia adalah ‘pencabar paling berkebolehan’ terhadap pemain lama dalam bidang digital, tetapi mahkamah menolak hujah tersebut.

    “TikTok telah berjaya meningkatkan jumlah pengguna dengan sangat cepat dan eksponen, mencapai, dalam masa yang singkat, separuh daripada saiz Facebook dan Instagram, serta kadar penglibatan yang sangat tinggi, terutama dengan pengguna muda, yang menghabiskan lebih banyak masa di TikTok berbanding rangkaian sosial lain,” kata mahkamah dalam satu kenyataan.

    Para hakim mengakui bahawa pada tahun 2018, aplikasi perkongsian video TikTok memang merupakan pencabar tetapi sejak itu ia telah memperkukuhkan kedudukannya dengan cepat dan bahkan menguatkan kedudukan tersebut dalam tahun-tahun berikutnya walaupun terdapat pelancaran perkhidmatan pesaing yang serupa. – AFP

    Gambar menunjukkan seorang lelaki memegang telefon pintar memaparkan logo platform media sosial China Tiktok di sebuah pejabat di Paris pada 19 April lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda