Tuesday, September 17, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis dikir peringati kelahiran Nabi Muhammad SAW

    Oleh Salawati Haji Yahya, Nurdiyanah R. & Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Sambutan Maulidur Rasul SAW terus disemarakkan di seluruh negara dengan pelbagai majlis dikir dan aktiviti keagamaan sebagai tanda kecintaan umat Islam terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

    Di Daerah Brunei dan Muara, laungan dikir sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW bergema di Istana Nurul Iman semalam yang dihadiri oleh rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Majlis dimulakan dengan solat Fardu Isyak berjemaah, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah dan ayat-ayat suci Al-Quran. Majlis turut diserikan dengan tazkirah bertajuk Gaya Ketawa Rasulullah SAW yang disampaikan oleh Awang Salihin bin Haji Samra.

    Bacaan dikir bermula dengan Dikir Assalammualaika dan diteruskan dengan beberapa selawat termasuk Dikir Khairuman, Dikir Bisyahrin dan Selawat Tafrijiyyah.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Dikir dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin turut mengambil bahagian dalam majlis dikir di Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda semasa menyertai majlis dikir di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KERJA RAYA
    Datin Hajah Nahriah semasa menghadiri Majlis Ihya Maulidur Rasul bagi Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Daerah Tutong di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam. – GAMBAR SERAHAN JHEM
    Para muslimah menghadiri Majlis Ihya Maulidur Rasul di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam. – GAMBAR SERAHAN JHEM
    Antara jemputan yang menyertai majlis dikir di Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Sementara itu, di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, seramai 50 peserta terdiri daripada rombongan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya menghadiri majlis dikir sempena Maulidur Rasul kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan mengetuai rombongan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Pembangunan serta jabatan-jabatan di bawahnya.

    Majlis dimulakan dengan solat Fardu Maghrib berjemaah diikuti bacaan Dikir Syarafil ‘Anam sebelum diteruskan dengan solat Isyak berjemaah dan Dikir Qiam.

    Majlis yang diadakan bertujuan untuk memperingati kelahiran Rasulullah SAW dan memupuk rasa cinta kepada Baginda melalui amalan selawat dan zikir, di samping mengeratkan silaturahim antara peserta.

    Rombongan itu dijadualkan meneruskan majlis dikir di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, pada 12 September ini.

    Dalam pada itu, di Daerah Tutong, Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai, turut menganjurkan Majlis Ihya Maulidur Rasul bagi Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Daerah Tutong, yang bertujuan memperkukuh syiar Islam dan memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW.

    Majlis tersebut dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, serta jawatankuasa takmir masjid.
    Hadir selaku tetamu kehormat majlis, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi.

    Selain memperbanyakkan selawat dan zikir, majlis ini bertujuan menggalakkan pembudayaan Dikir Brunei dalam kalangan muslimah serta mempereratkan hubungan silaturahim antara ahli Kelas Bimbingan Muslimah dan ahli jawatankuasa takmir.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah jemputan khas, pegawai dan kakitangan wanita Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong, serta tenaga pengajar dan para muslimah masjid dari seluruh Daerah Tutong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda