Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis perpisahan hargai kerjasama, perpaduan

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof telah menghadiri Majlis Makan Malam Perpisahan sebagai penutup tirai Mesyuarat Kerjasama ASEAN mengenai Hal Ehwal Perkhidmatan Awam (ACCSM) ke-22 dan Kerjasama ASEAN Plus Three mengenai Hal Ehwal Perkhidmatan Awam (ACCSM+3) ke-7, yang berlangsung Tarindak D’Seni, di ibu negara, kelmarin.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perkhidmatan Awam, Kemboja, selaku Timbalan Pengerusi ACCSM, Tuan Yang Terutama Hun Many; timbalan menteri di JPM, ketua-ketua perkhidmatan awam dari negara-negara anggota ASEAN dan negara-negara anggota ASEAN Plus Three serta Republik Demokratik Timor-Leste selaku pemerhati mesyuarat, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan dari sektor agensi kerajaan.

    Di majlis berkenaan, Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Ajman bin Haji Meludin selaku Ketua Perkhidmatan Awam ACCSM Negara Brunei Darussalam, dalam kata alu-aluannya telah mengimbas semula beberapa pencapaian penting di sepanjang kepengerusian ACCSM Negara Brunei Darussalam, antaranya penyediaan draf ASEAN Statement on Strengthening Government Strategies on Mental Health and Well-Being towards Achieving Work-Life Balance (WLB) in Public Sector serta juga dapatan kaji selidik bagi penyediaan Pelan Kerja ACCSM dan ACCSM Plus Three 2026-2030.

    Majlis perpisahan itu adalah sebagai tanda penghargaan atas semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan delegasi sepanjang sesi permesyuaratan, dan usaha serta komitmen semua pihak yang disumbangkan dalam memajukan perkhidmatan awam di rantau ASEAN.

    Ia juga bertujuan untuk mengukuhkan dan mengeratkan hubungan antara negara anggota ASEAN, ASEAN Plus Three dan Republik Demokratik Timor-Leste dan juga memberikan kenangan bermakna dalam suasana majlis yang mesra dan ceria.

    Majlis tersebut telah diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan tujuh puak Brunei, yang menggambarkan kekayaan warisan budaya masyarakat Brunei. Para delegasi juga disajikan dengan pelbagai hidangan tradisional sambil dihiburkan dengan persembahan muzik kebudayaan.

    Sebagai lambang setia kawan dan kerjasama antara negara anggota ASEAN dan ASEAN Plus Three, majlis diakhiri dengan pertukaran cenderamata dalam kalangan ketua perkhidmatan awam dari negara-negara anggota ASEAN dan ASEAN Plus Three serta Republik Demokratik Timor-Leste.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama delegasi yang hadir pada majlis perpisahan yang diadakan baru-baru ini. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Persembahan kebudayaan memeriahkan Majlis Makan Malam Perpisahan sebagai penutup tirai ACCSM ke-22 dan ACCSM+3 ke-7 di ibu negara, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Delegasi semasa menyaksikan Pameran Kain Tenunan di Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda