Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mantan warga Penerangan sambut Ilal Hijrah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Seramai 40 orang terdiri daripada mantan pengarah dan timbalan pengarah Penerangan, mantan pegawai dan kakitangan Penerangan yang telah bersara dan warga Penerangan yang masih berkhidmat telah menghadiri Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1446 sempena bulan Muharam, bertempat di The Mall, Gadong, hari ini.

    Majlis keagamaan itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Ad-Hoc Mantan Penerangan berkonsepkan majlis ilmu.

    Acara kemuncak bagi majlis ialah ceramah khas hijrah yang disampaikan oleh penceramah khas iaitu Pengarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar.

    Terdahulu ucapan alu-aluan disampaikan oleh Penasihat Bersama Jawatankuasa Ad-Hoc Mantan Penerangan, Haji Junaidi bin Orang Kaya Setia Negara Haji Mohd Safar.

    Sementara itu, penyampaian cenderamata kepada penceramah khas disempurnakan oleh Pengetua Pusat Sejarah, Dr Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Ad-Hoc Mantan Penerangan.

    Pertemuan dan perkumpulan itu mencerminkan betapa utuh dan kukuhnya ikatan jalinan silaturahim dalam kalangan mantan Penerangan walaupun masing-masing mempunyai kesibukan harian dan komitmen.

    Majlis tersebut diungkayahkan untuk merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan mantan dan warga Penerangan, mengukuhkan ikatan jalinan setia kawan dan persahabatan dalam suasana penuh harmoni, sebagai wadah bagi berinteraksi, bertukar-tukar idea dan pandangan yang menjurus kepada manfaat dan kebaikan bersama dan menjadi landasan yang kukuh ke arah menjalin simpulan persaudaraan serta membina satu semangat setia kawan yang erat lagi akrab.

    Sepanjang enam tahun ditubuhkan, Jawatankuasa Ad-Hoc Mantan Penerangan telah bergerak secara berkala dengan mengadakan beberapa program keagamaan dan berkebajikan.

    Antaranya ialah reunion mantan dan warga Penerangan iaitu perhimpunan kali pertama yang mempertemukan mantan Penerangan yang telah bersara dan warga Penerangan yang masih berkhidmat, majlis Maulidur Rasul serta majlis bertahlil bagi mantan Penerangan yang telah kembali ke rahmatullah sempena bulan Ramadan.

    Antara mantan pegawai dan kakitangan Penerangan yang telah bersara dan warga Penerangan yang masih berkhidmat yang menghadiri Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1446, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda