Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mayat ditemui di kilang yang terbakar

    ATHENS, 13 OGOS – Mayat seorang wanita ditemui awal hari ini di dalam sebuah kilang yang terbakar di Athens, kata agensi berita negara ANA, dalam apa yang dipercayai sebagai kematian pertama yang dilaporkan akibat kebakaran hutan teruk yang telah memusnahkan kawasan pinggiran timur laut bandar itu.

    Wanita itu, yang dipercayai berusia kira-kira 60 tahun, ditemui di dalam bangunan kilang di Patima Halandriou, sebahagian daripada kawasan perbandaran dengan lebih 70,000 penduduk yang sebahagiannya telah dipindahkan kelmarin.

    Beratus-ratus anggota bomba berhempas-pulas pada hari ketiga untuk memadamkan kebakaran yang meletus pada petang Ahad di bandar Varnavas, kira-kira 35 kilometer di timur laut Athens.

    Didorong oleh angin kencang, kebakaran tersebut membentuk garis api sepanjang 30 kilometer, setinggi lebih 25 meter di beberapa tempat, menurut penyiar negara, ERT.

    Sekurang-kurangnya seorang anggota bomba mengalami lecur yang serius ketika memadamkan kebakaran, manakala seorang lagi dimasukkan ke hospital kerana masalah pernafasan, kata jurucakap bomba, Vassilis Vathrakogiannis kelmarin.

    Menurut Kementerian Kesihatan, 66 orang telah dirawat kerana kecederaan berkaitan kebakaran sejak Ahad.

    Bantuan dari beberapa negara EU serta Serbia dan Turkiye dijangka tiba hari ini. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda