Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mek Yun tak kekok masuk industri drama Melayu

    Mula aktif bergelar pelakon, personaliti media sosial Mek Yun mengakui selesa dan tidak kekok berada dalam kalangan artis berbangsa Melayu.

    Meskipun berbangsa Cina, Mek Yun atau Wee Mun Nee, 27, berkata dia tidak menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dalam industri lakonan kerana dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu.

    “Bagi saya tidak menghadapi kesukaran langsung malah lebih rasa selesa kerana saya pun dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu juga, daripada kecil sampai besar. Lagi pun orang mengenali saya seorang yang bertutur dalam bahasa Kelantan dan fasih berbahasa Melayu. Jadi tidak pernah mendatangkan masalah buat saya. Saya pun turut berasa gembira kerana orang-orang yang bekerja dengan saya rasa selesa,” katanya kepada mStar.

    Dalam pada itu, Mek Yun juga memberitahu dia sudah bersedia berdepan dengan segala kritikan warganet selagi ia tidak mendatangkan kesan buruk kepada dirinya dan keluarga. Malah, dia tidak ambil peduli dengan kata-kata yang hanya memberikan impak negatif kepada kerjaya seninya.

    “Sekiranya teguran yang diberi kerana melakukan kesalahan, saya akan mengambil ia sebagai satu pelajaran untuk memperbaiki diri. Tetapi kalau ia melibatkan kehidupan peribadi berkaitan keluarga, saya bukanlah jenis menghentam tetapi adakalanya kita perlu mempertahankan diri. Cuma biasanya saya tidak ambil kisah sekiranya ada yang mahu beri tenaga negatif saya akan tolak ke tepi selagi saya mempunyai sokongan daripada orang-orang yang menyayangi diri saya,” ujarnya.

    Dalam perkembangan lain, Mek Yun juga kini membintangi drama Perang Nasi Dagang yang diarahkan oleh Issey Fazlisham. – Agensi

    Mek Yun sedia terima cabaran sebagai pelakon. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda