Friday, May 3, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Memajukan usaha ASEAN STI

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Kita semua sudah memahami kepentingan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kehidupan seharian serta cara di mana ia mentransformasikan dunia.

    “Ini sudah terbukti semasa pandemik COVID-19 yang menunjukkan nilai STI sebagai sesuatu yang amat diperlukan dalam tindak balas serta pemulihan daripada krisis itu,” ujar Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohd Yusof (gambar) semasa mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN ke-83 (COSTI-83) yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Beliau selaku National COSTI Chair bagi Brunei seterusnya menyatakan matlamat mereka dalam mesyuarat dan perbincangan itu adalah jelas iaitu untuk memajukan usaha ASEAN STI supaya ia kekal sebagai kuasa peneraju dalam kerjasama dan integrasi ekonomi serantau ke arah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

    Mesyuarat juga dipengerusikan bersama oleh Pengarah Kerjasama Antara-bangsa, Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT), Jepun, Hara Masashi.

    Beliau juga menekankan kepentingan mempertingkatkan koordinasi COSTI serta keperluan untuk meningkatkan akses dan penggunaan dana STI yang telah dibincangkan semasa sesi COSTI Retreat yang diadakan sebelum Mesyuarat COSTI-83.

    Ir Haji Mohamad Nazri semasa mempengerusikan Mesyuarat COSTI-83. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Delegasi dari negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN yang menghadiri Mesyuarat COSTI-83, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Ketua delegasi negara-negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN bergambar ramai pada majlis yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat COSTI-83 yang bersidang pada 20 dan 21 Jun. Mesyuarat dihadiri oleh delegasi dari negara-negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN dan Rakan Dialog ASEAN iaitu MEXT, Jepun.

    Mesyuarat ASEAN COSTI merupakan badan sektoral di bawah ASEAN yang dipertanggungjawabkan ke atas semua aspek kerjasama dan integrasi sains, teknologi dan inovasi bagi negara-negara anggota ASEAN.

    Semasa Mesyuarat COSTI-83, beberapa perkara utama telah dibincangkan termasuk status Dana STI ASEAN (ASTIF), perbincangan mengenai perkembangan pembangunan Pelan Tindakan ASEAN bagi STI (APASTI) 2026-2035, perbincangan mengenai pelaksanaan projek-projek keutamaan tahunan bagi COSTI 2022, pengesahan projek-projek keutamaan tahunan COSTI 2023 serta cadangan bagi keutamaan tahunan COSTI 2024.

    Mesyuarat juga membincangkan persetujuan mengenai susunan tarikh bagi Mesyuarat COSTI ke-84 yang akan dipengerusikan oleh Filipina.

    Pada masa yang sama, Mesyuarat COSTI-83 juga akan mengadakan mesyuarat bersama rakan dialog Jepun dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Sains dan Teknologi ASEAN-Jepun ke-12 (AJCCST-12) yang akan dipengerusikan bersama oleh Ir Haji Mohammad Nazri dan Hara Masashi.

    Mesyuarat itu akan membincangkan pertukaran pendapat mengenai inisiatif dan strategi kerjasama pada masa depan.

    Sebelum Mesyuarat COSTI-83 bersidang, sesi COSTI Retreat telah diadakan kelmarin, yang dihadiri oleh delegasi dari negara-negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN.

    Semasa COSTI Retreat, antara tumpuan sesi adalah membincangkan keberkesanan dan hala tuju struktur tadbir urus ASEAN STI, mekanisme pembiayaan dan juga bidang tumpuan ASEAN STI sebagai persediaan untuk Mesyuarat COSTI-83.

    Hasil daripada mesyuarat itu akan dilaporkan kepada Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ke-12 yang akan berlangsung di The Empire Brunei pada 22 Jun.

    Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Pengerusi Lembaga Penasihat kepada COSTI (BAC) dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...