Friday, September 6, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menteri kanan Singapura tiba di Malaysia, hadir istiadat pertabalan Agong

    SEPANG, 19 JULAI – Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong tiba di Malaysia hari ini untuk menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur esok.

    Pesawat komersial yang membawa Lee bersama isterinya Ho Ching serta delegasi beliau mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4:15 petang.

    Lee diiringi Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan dan Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad dan Menteri Negara Kanan bagi Kebudayaan, Masyarakat dan Belia yang juga Menteri Negara Kanan bagi Perdagangan dan Perusahaan, Low Yen Ling.

    Semalam, Pejabat Perdana Menteri Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan Lee adalah antara kumpulan pemimpin asing terpilih yang diundang oleh Seri Paduka Baginda untuk menghadiri istiadat pertabalan itu.

    Semasa lawatan berkenaan, bekas perdana menteri itu akan menghadiri istiadat pertabalan dan Majlis Santapan Diraja.

    Lee juga dijadualkan bertemu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan dengan Raja-raja Melayu, menteri dan pemimpin Malaysia, serta akan berucap pada majlis makan malam Kelab Perniagaan Kuala Lumpur.

    Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas. – Bernama

    Lee (tengah) tiba di Malaysia pada 19 Julai untuk menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda