Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mercedes Korea dedah pembekal bateri selepas kebakaran EV

    SEOUL, 13 OGOS – Mercedes-Benz Korea hari ini telah mendedahkan identiti pembekal bateri kenderaan elektrik (EV) mereka susulan insiden kebakaran yang melibatkan salah satu model kenderaan mereka di tempat letak kereta di Korea Selatan pada 1 Ogos lalu.

    Insiden kebakaran itu telah merosakkan lebih 40 kenderaan dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, dengan pelbagai tempat letak kereta di Korea Selatan mengenakan beberapa siri sekatan ad hoc di tengah permintaan yang semakin meningkat untuk ketelusan dalam rantaian bekalan bateri.

    Jurucakap Jabatan Bomba Incheon menyatakan bahawa rakaman CCTV menunjukkan kebakaran tersebut mempunyai ciri-ciri yang menunjukkan ia berpunca daripada bateri kenderaan.

    “Analisis masih dijalankan, namun rakaman awal menunjukkan tanda-tanda kebakaran ini disebabkan oleh bateri,” katanya.

    Pakar turut menjelaskan bahawa kebakaran bateri lebih sukar dipadamkan berbanding kebakaran biasa disebabkan kesan ‘thermal runaway’ iaitu satu reaksi berantai dalam sel bateri yang sukar dikawal.

    Mercedes-Benz Korea dalam satu kenyataan di laman web rasminya mengesahkan bahawa bateri yang digunakan dalam model EQE 350 yang terbakar itu dibekalkan oleh pengeluar China, Farasis Energy.

    Imej kebakaran yang dikongsikan oleh media tempatan menunjukkan api yang memusnahkan puluhan kenderaan lain di kawasan tersebut, dan pihak bomba menyatakan bahawa 23 penduduk telah dirawat di hospital akibat terhidu asap.

    Pihak berkuasa kini sedang menyiasat kegagalan sistem pemercik di tempat letak kereta itu dalam beberapa minit awal kebakaran, dengan media meramalkan seorang pekerja penyelenggaraan mungkin menganggap sistem itu diaktifkan secara tidak sengaja. – AFP

    Stesen pengecas EV Mercedes di tempat letak kereta di Seoul pada 13 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda