Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat kongsi perkembangan projek berkaitan BIMP-EAGA

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) telah menjadi wadah penting untuk meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi di kawasan kurang maju, terpinggir dan terpencil di empat buah negara anggota.

    Dengan memanfaatkan wadah itu, negara anggota boleh memupuk pendekatan kolaboratif terhadap pengurusan dan perlindungan alam sekitar bagi memastikan kemakmuran jangka panjang untuk wilayah BIMP-EAGA.

    Penekanan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dalam kata alu-aluannya semasa Mesyuarat Kluster Alam Sekitar BIMP-EAGA ke-12 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, hari ini.

    Beliau turut memetik hasil daripada Mesyuarat Perancangan Strategik BIMP-EAGA yang diadakan pada Februari lalu di Kuching, Malaysia, di mana Strategi Ekonomi Biru 2030 telah muncul sebagai kunci utama bagi merebut peluang dan menawarkan penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi BIMP-EAGA dan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia – Malaysia – Thailand (IMT-GT) bagi laut dan laluan air yang dikongsi bersama.

    Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan telah menjadi tuan rumah kepada mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Hajah Martinah binti Haji Tamit.

    Dr Nor Imtihan bergambar ramai semasa Mesyuarat Kluster Alam Sekitar BIMP-EAGA, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN JASTRE
    Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan semasa menyampaikan ucapannya. – GAMBAR SERAHAN JASTRE
    GAMBAR SERAHAN JASTRE
    GAMBAR SERAHAN JASTRE

    Dalam kenyataan pengerusinya, Hajah Martinah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli Kumpulan Kerja Kluster Alam Sekitar atas usaha kolektif dan komitmen yang tidak berbelah bahagi serta kepada Pusat Pemudahcara BIMP-EAGA, Bank Pembangunan Asia (ADB) dan rakan-rakan kongsi pembangunan atas sokongan yang diberikan kepada projek-projek yang telah dan sedang dijalankan.

    Beliau turut mengongsikan mengenai Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah anjuran Sabah Maju Jaya yang akan diadakan selama tiga hari pada September nanti di Kota Kinabalu Sabah, Malaysia.

    Persidangan itu, jelasnya, akan memberikan tumpuan kepada kerjasama, inovasi dan pemuliharaan dalam konteks Ekonomi Biru Sabah serta menggalakkan ahli kluster untuk mengambil bahagian secara aktif dalam persidangan berkenaan.

    Mesyuarat dihadiri oleh delegasi dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina. Delegasi Brunei Darussalam terdiri daripada pegawai-pegawai dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan JASTRe. Turut hadir ialah perwakilan dari Majlis Perniagaan BIMP-EAGA (BEBC), Pusat Pemudahcara BIMP-EAGA dan ADB.

    Mesyuarat itu antara lain mengongsikan perkembangan dan membincangkan mengenai pelaksanaan Keutamaan Strategik Projek BEV 2025 (Projek Rolling Pipeline 3, 2023-2025) bagi Kluster Alam Sekitar termasuk projek-projek baharu bagi 2024 dan Joint BIMP-EAGA Blue Economy Strategy 2030 serta mengambil maklum mengenai Kajian Koridor Ekonomi BIMP-EAGA.

    Mesyuarat Kluster Alam Sekitar BIMP-EAGA ke-13 akan bersidang pada 2025 dan akan dihoskan oleh Indonesia.

    BIMP-EAGA terdiri dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia (Sulawesi, Kalimantan, Maluku dan Irian Jaya), Malaysia (Sabah, Sarawak dan Labuan) serta wilayah Filipina (Mindanao dan Palawan).

    Ia ditubuhkan pada Mac 1994, bertujuan untuk meningkatkan perdagangan, pelancongan dan pelaburan di antara empat negara berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda