Friday, May 17, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Microsoft akan labur AS$1.7 bn dalam AI di Indonesia

    JAKARTA, 30 APRIL – Microsoft akan melabur AS$1.7 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang dalam infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) baharu di Indonesia, pelaburan tunggal terbesar dalam sejarah 29 tahun Microsoft di negara itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella, hari ini.

    Microsoft menjalankan salah satu operasi pengkomputeran awan terbesar di dunia dan telah mengambil langkah penting ke dalam kecerdasan buatan dengan memasukkan bot sembang AI ke dalam enjin cariannya, Bing. Laporan pendapatannya pada Khamis berkata keuntungan meningkat 20 peratus untuk suku Januari hingga Mac kerana ia cuba meletakkan dirinya sebagai peneraju dalam menggunakan teknologi AI untuk menjadikan tempat kerja lebih produktif.

     “Generasi baharu AI itu membentuk semula cara orang hidup dan bekerja di mana-mana, termasuk di Indonesia,” kata Nadella, di Jakarta pada perhentian pertama lawatan ke Asia Tenggara.

     “Pelaburan yang kami umumkan hari ini, merangkumi infrastruktur digital, kemahiran dan sokongan untuk pembangunan akan membantu Indonesia berkembang maju dalam era baharu ini,” katanya.

    Microsoft melihat Asia Tenggara sebagai pasaran yang semakin berkembang dan lokasi yang berpotensi untuk lebih banyak pembangunan produk AI. Peningkatan AI di rantau ini dijangka memberi kesan ketara kepada landskap ekonominya. Kajian yang diadakan oleh Kearney, firma perunding global, berkata AI boleh menyumbang hampir AS$1 trilion kepada KDNK Asia Tenggara menjelang 2030, yang mana Indonesia dijangka memperoleh AS$366 bilion.

    Pelaburan yang diumumkan hari ini juga akan merangkumi latihan AI untuk 840,000 orang, serta sokongan untuk komuniti pembangun teknologi Indonesia yang semakin berkembang.

    Indonesia adalah rumah kepada komuniti pembangun ketiga terbesar di rantau Asia-Pasifik selepas India dan China. Lebih daripada 3.1 juta pembangunan di Indonesia menggunakan GitHub, platform milik Microsoft untuk pembangunan perisian, kerjasama dan inovasi. Ia diunjurkan menjadi salah satu daripada lima komuniti pembangun teratas di GitHub di peringkat global menjelang 2026. – AP

    Logo Microsoft dipaparkan semasa acara bertajuk Microsoft Build: AI Day di Jakarta, Indonesia, kelmarin. – AP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Xi, Putin hadir rasmikan Tahun Budaya China-Rusia

    BEIJING, 17 MEI - Upacara perasmian Tahun Budaya China-Rusia dan konsert khas bagi meraikan ulang tahun ke-75 ikatan diplomatik kedua-dua negara berlangsung di Beijing...