Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mikel Merino sertai Arsenal

    LONDON, 28 OGOS – Arsenal telah melengkapkan perpindahan pemenang Euro 2024, Mikel Merino dari Real Sociedad kelmarin.

    Pemain tengah Sepanyol itu dilaporkan akan menelan belanja sebanyak 32 juta euro dengan tambahan lima juta euro lagi.

    “Mikel merupakan pemain yang akan membawakan kami kualiti yang hebat dengan pengalamannya,” kata bos Arsenal, Mikel Arteta.

    “Dia telah bermain di peringkat tertinggi dalam permainan di pe-ringkat kelab dan antarabangsa untuk beberapa musim sekarang.

    “Mikel akan menjadikan skuad kami jauh lebih kuat, dengan kemampuan teknikalnya, bersama dengan watak serta personalitinya yang kuat dan positif,” tambahnya.

    Aksi Mikel Merino mengawal bola semasa sesi latihan menjelang perlawanan akhir bola sepak Euro 2024 di Donaueschingen, Jerman pada 10 Julai lalu. – AP

    Merino menjaringkan gol kemenangan untuk Sepanyol dalam perlawanan suku akhir Euro yang dramatik ke atas tuan rumah, Jerman.

    Pemain berusia 28 tahun itu telah menghabiskan enam tahun terakhirnya di Sociedad, tetapi mempunyai pengalaman dalam bola sepak Inggeris sebelum ini.

    Merino pernah beraksi selama satu musim di Newcastle pada 2017/18 tetapi sebahagian besarnya mengalami kesukaran untuk menyerlah sebelum kembali ke Sepanyol.

    Dia menjadi pemain baharu kedua Arsenal pada jendela perpindahan selepas ketibaan pemain pertahanan antarabangsa Itali, Riccardo Calafiori.

    Pinjaman penjaga gol David Raya daripada Brentford juga telah dijadikan perpindahan tetap.

    “Mikel merupakan sasaran utama kami pada musim panas ini dan kami mengenal pasti dia sebagai pemain yang boleh menyesuaikan diri dengan sempurna dalam skuad dan profil kami untuk meningkatkan mutu permainan kami, kerana kami berhasrat untuk membina prestasi kukuh kami musim lalu,” kata pengarah sukan Arsenal, Edu.

    Arsenal telah menduduki tempat kedua di belakang Manchester City dalam setiap dua musim Liga Perdana Inggeris yang lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda