Thursday, May 2, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    M’sia buka semula sempadan 1 April ini

    KUALA LUMPUR, 8 MAC – Sempadan Malaysia akan dibuka semula pada 1 April ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar).

    Beliau berkata langkah itu selari dengan perancangan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik dan pengumuman yang paling dinanti-nantikan rakyat ini akan merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID.

    “Dengan pembukaan semula sempadan negara ini, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar,” ujarnya.

    “Dalam masa yang sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan,” katanya pada sidang media khas di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

    Beliau berkata mereka hanya perlu memuat turun dan dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi ‘Traveller’ dalam aplikasi MySejahtera.

    Ismail Sabri berkata individu yang telah menerima vaksinasi lengkap tidak perlu menjalani kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

    Beliau berkata ini adalah prosedur wajib dipatuhi rakyat Malaysia dan pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia, mengambil kira situasi penularan COVID-19 terutama gelombang Omicron yang masih melanda negara dan kebanyakan negara di seluruh dunia. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...