Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    MTIC anjur Majlis Doa Selamat untuk bakal jemaah haji

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya, hari ini, telah mengadakan Majlis Doa Selamat bagi bakal-bakal jemaah haji tahun 2024.

    Majlis yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan MTIC itu dikelolakan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD).

    Hadir pada majlis tersebut, Menteri Pengangkutan dan Infokomunkasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, yang kemudiannya menyempurnakan penyampaian sumbangan derma kepada enam orang bakal jemaah haji terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan MTIC serta jabatan-jabatan dan agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.

    Terdahulu, majlis diserikan dengan ceramah khas bertajuk Ahlan Wa Sahlan Duyuf Ar-Rahman yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama dari Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Muhammad Najib bin Haji Awang.

    Dalam ceramah berkenaan beliau antara lain telah mengongsikan, Baitillahil Haram atau Tanah Suci Mekah adalah tempat yang suci lagi bersih, dan sebelum menjadi tetamu Allah SWT, kita hendaklah menyediakan persiapan yang cukup khususnya dari segi jasmani, mental, spiritual atau Rohani.

    Ceramah beliau menjelaskan, persediaan rohani itu dengan menetapkan niat iaitu bersihkan daripada segala cacat cela dengan berniat ikhlas kerana Allah, diikuti dengan musahabah diri, tingkatan amalan, perbaiki kualiti solat dan belajar berbaik sangka.

    “Jangan jadikan doa itu seperti ubat yang hanya diperlukan ketika sakit, tetapi jadikan doa itu seperti air yang diperlukan setiap masa,” jelasnya.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan bakal-bakal jemaah haji, agar dipermudahkan segala urusan dan sentiasa dalam keadaan sihat serta memperolehi haji yang mabrur.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah pemangku setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua eksekutif, pengarah-pengarah bahagian, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan MTIC, jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyampaikan sumbangan dan cenderahati kepada bakal-bakal haji.– GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Haji Muhammad Najib semasa menyampaikan ceramah pada majlis berkenaan.– GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda