Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    NBA meterai perjanjian media global

    NEW YORK, 25 JULAI – NBA mengumumkan perjanjian hak media global selama 11 tahun dengan The Walt Disney Company, NBCUniversal dan Amazon kelmarin bernilai AS$76 bilion bermula dari musim 2025-26 hingga 2035-36.

    Selain meluaskan liputan permainan untuk penonton siaran televisyen Amerika Syarikat (AS) dan global serta penonton penstriman, kontrak tersebut akan meningkatkan nilai setiap pasukan NBA selain gaji bintang terkenal bola keranjang.

    Walaupun tiada butiran kewangan didedahkan secara rasmi, ESPN, The Wall Street Journal dan majalah Forbes telah melaporkan jumlah gabungan AS$76 bilion untuk perjanjian itu.

    “Perjanjian media global baharu kami dengan Disney, NBCUniversal dan Amazon akan memaksimumkan capaian dan kebolehcapaian permainan NBA untuk peminat di AS dan di seluruh dunia,” kata Pesuruhjaya Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan, Adam Silver.

    “Rakan kongsi berkenaan akan menyiarkan liputan tentang kami merentasi pelbagai platform dan membantu mengubah pengalaman peminat dalam tempoh beberapa dekad akan datang,” ujarnya lagi

    Tindakan itu diambil selepas liga mengumumkan ia telah menolak bidaan oleh Warner Brothers Discovery untuk mengekalkan haknya supaya setara dengan perjanjian Amazon, di mana ia mengatakan syarat tawaran untuk kekal di saluran televisyen AS Turner Sports adalah tidak mencukupi.

    “Cadangan terbaharu Warner Brothers Discovery tidak sepadan dengan syarat tawaran Amazon Prime Video, oleh itu kami telah memeterai perjanjian jangka panjang dengan Amazon,” kata NBA dalam satu kenyataan. – AFP

    Gambar fail menunjukkan logo NBA di luar kedai peminat NBA di New York pada 8 Julai. NBA mengumumkan perjanjian hak media global selama 11 tahun dengan The Walt Disney Company, NBCUniversal dan Amazon pada 24 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda