Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    NCSM perluas program imunisasi HPV secara percuma

    KUALA LUMPUR, 22 JULAI – Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) hari ini melancarkan Program Imunisasi Papilomavirus Manusia (HPV): “Tanpa Meninggalkan Sesiapapun” peringkat negeri Sarawak yang diadakan sempena sambutan Hari Sarawak ke-61.

    Program imunisasi HPV secara percuma yang pertama seumpamanya di Malaysia Timur itu dirasmikan Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian.

    Program yang merupakan inisiatif NCSM bagi mencegah kanser serviks disebabkan HPV itu, menyasarkan lelaki dan wanita berusia 13 hingga 26 tahun terutama golongan kurang bernasib baik.

    Pengarah Urusan NCSM Prof Madya Dr Murallitharan Munisamy berkata persatuan itu menyasarkan untuk membantu kira-kira 50,000 rakyat Sarawak lelaki dan wanita mendapatkan perlindungan daripada HPV.

    “Program imunisasi di Sarawak sahaja bernilai RM15 juta. Kami berharap dengan pelancaran ini lebih ramai rakyat Sarawak tanpa mengira jantina akan mengambil peluang ini untuk melindungi diri dan keluarga mereka daripada ancaman kanser serviks,” katanya.

    Gambar Freepik

    Murallitharan turut berterima kasih kepada kerajaan Sarawak atas sokongan dan kerjasama, selain rakan korporat MSD atas sumbangan 300,000 dos vaksin HPV dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) yang menyumbang RM3 juta.

    Bagaimanapun, Murallitharan berkata NCSM masih memerlukan tambahan RM6 juta bagi memastikan program itu berjalan lancar, justeru menyeru semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), syarikat dan individu untuk turut tampil menyumbang.

    Sehingga kini program tersebut telah berjaya melindungi lebih 50,000 rakyat Malaysia daripada ancaman HPV.

    Sejak diperkenalkan pada November lepas, program imunisasi berkenaan telah dilaksanakan di pelbagai kawasan termasuk di luar bandar di semenanjung.

    Sementara itu, Dr Sim menggesa seluruh rakyat Sarawak mengambil peluang mendapatkan vaksin HPV secara percuma untuk melindungi diri, keluarga dan komuniti mereka.

    “Lebih ramai mendapat perlindungan, lebih rendah jangkitan virus tersebut sekali gus mengurangkan bebanan di hospital di negeri ini,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda