Friday, May 17, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Nepal bergelut kebakaran hutan teruk

    KATHMANDU, 2 MEI – Anggota bomba dan penduduk tempatan bergelut dengan kebakaran besar di pinggir ibu negara Nepal hari ini ketika negara itu mengalami musim kebakaran yang teruk dikatakan oleh pihak berkuasa berpunca daripada gelombang panas.

    Nepal menyaksikan siri-siri kebakaran hutan setiap tahun, biasanya bermula pada bulan Mac, tetapi bilangan dan intensitinya semakin teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan perubahan iklim membawa kepada musim sejuk yang lebih kering.

    Anggota kecemasan bekerja sepanjang malam untuk memadamkan kebakaran yang melanda kawasan hutan di Lalitpur, di pinggir selatan lembah Kathmandu.

    Lebih 4,500 kebakaran hutan telah dilaporkan tahun ini di seluruh negara, hampir dua kali ganda berbanding tahun lepas menurut data kerajaan tetapi kurang daripada musim kebakaran terburuk yang dicatat pada 2021.

    “Kebakaran hutan telah meningkat dalam nisbah yang tidak dapat dibayangkan, dan musim ini dijangka bertahan selama sebulan lagi,” beritahu Sundar Prasad Sharma dari Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan kepada AFP.

    Gambar menunjukkan kebakaran hutan berdekatan kampung Lubhu di daerah Lalitpur, pinggir bandar Kathmandu, kelmarin. – AFP

    “Adalah mencabar untuk memadamkan kebakaran kerana keadaan muka bumi kami yang sukar,” tambahnya.

    Jurucakap Kementerian Alam Sekitar, Badri Raj Dhungana berkata peningkatan jumlah kebakaran hutan tahun ini adalah disebabkan keadaan kemarau yang panjang dan gelombang panas di dataran selatan Nepal.

    “Secara amnya, kebakaran hutan memuncak pada akhir April tetapi tahun ini ia masih meningkat kerana suhu meningkat,” katanya.

    Penyelidikan saintifik yang meluas mendapati perubahan iklim menyebabkan gelombang haba menjadi lebih lama, lebih kerap dan lebih teruk.

    Sebahagian besar kawasan Asia Selatan dan Tenggara telah dibelenggu gelombang panas sejak bulan lepas, dengan fenomena El Nino turut mendorong cuaca panas luar biasa tahun ini.

    Suhu telah meningkat melebihi 40 darjah Celsius di bandar Buddha Lumbini dan kawasan lain di selatan, dengan ramalan cuaca lebih panas pada hari-hari mendatang.

    Lebih 100 sekolah di bandar selatan Butwal ditutup hari ini selama dua hari kerana bimbang gelombang panas akan menjejaskan kesihatan pelajar. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    12 terbunuh dipancar kilat di India

    NEW DELHI, 17 MEI - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan beberapa lagi mangsa cedera, kelmarin akibat dipanah petir di Bengal Barat, di timur India,...