Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi kemanusiaan hentikan bantuan di Gaza

    GENEVA, 30 OGOS – Seorang pegawai bantuan tertinggi PBB kelmarin mempersoalkan ‘di manakah sifat perikemanusiaan kita?’, ketika perang di Gaza semakin memuncak dan operasi kemanusiaan bergelut untuk memberikan respons.

    Joyce Msuya, pemangku ketua pejabat kemanusiaan PBB (OCHA), berkata ‘kami tidak dapat merancang lebih daripada 24 jam lebih awal kerana kami bergelut untuk mengetahui bekalan apa yang kami ada, bila kami akan memilikinya atau di mana kami dapat menghantarnya.”

    “Orang awam berada dalam kelaparan, kehausan dan kesakitan. Mereka tiada tempat tinggal. Mereka telah ditindas melebihi apa yang mampu ditanggung oleh mana-mana manusia,” katanya kepada Majlis Keselamatan.

    Kenyataan Msuya dibuat selepas PBB terpaksa menghentikan pergerakan bantuan dan pekerja bantuan di Gaza pada Isnin berikutan perintah pemindahan baharu Israel untuk kawasan Deir al-Balah, yang telah menjadi hab pekerjanya.

    “Lebih daripada 88 peratus wilayah Gaza telah berada di bawah perintah (Israel) untuk berpindah pada suatu ketika,” kata Msuya sambil menambah bahawa orang awam, ‘berada dalam keadaan terawang-awang’, dipaksa berpindah ke kawasan yang bersamaan dengan 11 peratus daripada Semenanjung Gaza.

    “Arahan pemindahan itu nampaknya bertentangan dengan syarat undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” tambahnya.

    Perang Israel ke atas kumpulan pejuang Palestin, Hamas semakin mendapat perhatian kerana jumlah kematian orang awam meningkat, tetapi kuasa antarabangsa termasuk Amerika Syarikat telah gagal untuk membantu mencapai gencatan senjata. – AFP

    Faten Mreish meratapi anaknya yang terbunuh dalam pengeboman Israel di Semenanjung Gaza di sebuah bilik mayat hospital di Deir al-Balah pada 28 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda