Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pameran libatkan 40 pelukis tempatan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Sebanyak 66 buah lukisan daripada 40 pelukis tempatan dipamerkan dalam Pameran Kemilau Gemilang 78: Dari Hati ke Seni, di Muzium Teknologi Melayu sehingga 15 September nanti.
     
    Pameran tersebut adalah bagi meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78.
     
    Hadir bagi merasmikan pameran berkenaan, hari ini, ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Wahsalfelah yang seterusnya menyaksikan pameran.
     
    Pameran itu memperlihatkan keindahan dan kreativiti seni tempatan sambil menghormati Baginda Sultan terhadap sumbangan penting dalam pembangunan seni dan budaya di negara ini.
     
    Karya lukisan itu merangkumi lukisan-lukisan dan medium lain, mencerminkan warisan budaya dan landskap Brunei yang unik. 
     
    Antara lain tujuan pameran tersebut adalah untuk menggalakkan artis muda dan veteran yang berpengalaman bagi berkongsi bakat dan minat mereka terhadap seni, selain berfungsi sebagai platform yang merapatkan perbezaan generasi dan meraikan senario seni yang berkembang di Brunei.
     
    Selain pameran itu, pengunjung juga berpeluang menyertai beberapa aktiviti yang diadakan semasa bengkel hujung minggu iaitu pada 18 Ogos bengkel sketch outing; bengkel lukisan landskap di atas kanvas terbuka untuk semua peringkat umur yang akan diadakan pada 25 Ogos; dan bengkel Lakaran Watak Kartun Asas bagi kanak-kanak yang berumur antara tujuh hingga 15 tahun pada 8 September nanti.
     
    Pameran turut diserikan dengan persembahan syair Rahmat Melimpah di Bumi Bertuah hasil nukilan Nilam Jauhari @ Pehin Dato Haji Abdul Ghani yang disampaikan oleh Dayang Halimatus Rabeatul Saiedah binti Huzaimi.
     
    Dr Siti Norkhalbi menandatangani poster perasmian Kemilau Gemilang 78: Dari Hati ke Seni. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Dr Siti Norkhalbi menyaksikan pameran sambil mendengar penerangan ringkas daripada pelukis lukisan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Antara lukisan daripada 40 pelukis tempatan yang dipamerkan di Kemilau Gemilang 78: Dari Hati ke Seni. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda