Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Panama mara ke final CONCACAF

    MIAMI, 13 JULAI – Panama telah memberikan kejutan besar ke atas Amerika Syarikat (AS) setelah memenangi perlawanan separuh akhir Piala Emas CONCACAF semalam yang berakhir dengan keputusan 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti di San Diego, sekali gus membuka jalan bagi Panama untuk mara ke perlawanan akhir bertemu Mexico.

    Sementara itu, Mexico, juara Piala Emas sebanyak lapan kali, mara ke perlawanan akhir setelah mengalahkan Jamaica 3-0 di Las Vegas, Ahad lalu.

    Mexico akan bermula sebagai pasukan pilihan menentang Panama yang belum pernah mencapai kemenangan dalam pertandingan serantau itu bagi Amerika Utara, Tengah, dan Caribbean, namun mereka pernah mara ke perlawanan akhir dua kali sebelum ini, hanya untuk tunduk kepada AS pada tahun 2005 dan 2013.

    AS, yang memilih untuk tidak memasukkan pemain utama mereka yang bermain di Eropah, gagal mara ke perlawanan akhir buat kali kedua sejak 2003. Mereka terpaksa akur dalam penentuan penalti setelah perlawanan berakhir dengan keputusan 1-1 selepas masa tambahan.

    “Masuk ke final ini merupakan impian setiap rakyat Panama. Kami terpaksa melalui liku-liku yang sukar untuk meraih kemenangan ini, tetapi itulah cara terbaik untuk menikmatinya,” kata jurulatih Panama, Thomas Christiansen.

    AS memulakan perlawanan di California itu dengan penuh semangat, di mana Cade Cowell hampir menjaringkan gol pada minit pertama.

    Panama hampir mendapatkan gol melalui percubaan Edgar Barcenas pada minit ke-29, tetapi gol tersebut dikatakan ofsaid. Manakala penjaga gol AS, Matt Turner, terpaksa berjaga-jaga pada minit ke-53 untuk menghalang tandukan Ismael Diaz. Brandon Vazquez, yang diberi peluang untuk memulakan perlawanan selepas mencatatkan tiga gol sebagai pemain simpanan dalam kejohanan itu, mensia-siakan peluang yang baik dengan rembatannya terlalu tinggi dari jarak dekat selepas menerima hantaran daripada Cowell. – AFP

    Pemain tengah Panama, Adalberto Carrasquilla (kanan) meraikan kemenangan selepas menang sepakan penalti di Stadium Snapdragon di San Diego, California pada 12 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda