Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Parlimen Thailand pilih PM baharu esok

    BANGKOK, 15 OGOS – Parlimen Thailand akan bersidang esok bagi mengadakan mesyuarat khas memilih perdana menteri (PM) baharu susulan keputusan mahkamah yang menyingkirkan Srettha Thavisin kelmarin.

    Dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Dewan Perwakilan, Leftenan Polis Kanan Arpath Sukhanunth, beliau memaklumkan bahawa Speaker Dewan Rakyat, Wan Muhamad Noor Matha menghantar notis kepada semua Ahli Parlimen (MP) pada petang kelmarin menyeru mereka untuk hadir ke mesyuarat yang akan diadakan pada jam 10 pagi esok.

    “Ahli Parlimen akan mengundi untuk mempertimbangkan individu yang sepatutnya dilantik sebagai Perdana Menteri mengikut Seksyen 159 Perlembagaan Kerajaan Thailand,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

    Pada Rabu, Mahkamah Perlembagaan Thailand memutuskan Srettha Thavisin dilucutkan daripada jawatan perdana menteri selepas didapati bersalah melantik seorang menteri yang mempunyai rekod jenayah pada Mei lalu.

    Sementara itu, media tempatan melaporkan bahawa Phumtham Wechayachai daripada parti Pheu Thai telah dinamakan sebagai pemangku Perdana Menteri, kerana beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri Pertama dan juga Menteri Perdagangan di bawah pentadbiran Srettha.

    Perlembagaan Thailand menetapkan bahawa untuk menjadi perdana menteri, calon perlu mendapat sokongan majoriti daripada keseluruhan 493 Ahli Parlimen sedia ada, yang bermakna calon itu perlu memperoleh sekurang-kurangnya 248 undi.

    Daripada jumlah keseluruhan 500 kerusi parlimen, enam Ahli Parlimen Parti Move Forward (MFP) dilarang berkhidmat selepas parti itu dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan minggu lalu, manakala seorang Ahli Parlimen Nakhon Si Thammarat digantung tugas kerana terlibat dalam membeli undi. – Bernama

    Suasana Parlimen Thailand semasa mengundi untuk perdana menteri baharu negara itu di Bangkok, Thailand pada Ogos 2023. PM baharu akan dipilih esok. – Xinhua

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda