Friday, May 17, 2024
28.7 C
Brunei

    -

    PB dan JCHS pupuk kerjasama dalam penjagaan kesihatan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MEI – Politeknik Brunei (PB) dan JPMC College of Health Sciences Sdn Bhd (JCHS) menandakan satu mercu tanda signifikan dengan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) yang berlangsung di PB, hari ini.

    Penandatanganan MoU berkenaan merupakan bukti komitmen bersama kepada memajukan latihan dan pendidikan dalam bidang penting penjagaan kesihatan serta sains kesihatan.

    Hadir untuk menyaksikan penandatanganan berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

    Menandatangani bagi pihak PB ialah Pemangku Pengarah, Lim Kian Boon dengan saksi, Ketua Sekolah Sains Kesihatan, Dayang Armah binti Tengah. Manakala itu, menandatangani bagi pihak JCHS ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Chung Yea Fui dengan saksi, Dekan, Dr Rachelle Sarmiento.

    Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan, kakitangan akademik dan pentadbiran JCHS serta ketua-ketua bahagian dan ketua-ketua sekolah PB. Terdahulu sebelum penandatanganan, Lim Kian Boon dalam ucapan alu-aluannya menyatakan matlamat utama MoU itu adalah jelas iaitu untuk menubuhkan, mempromosi dan membangunkan kolaborasi bermanfaat bagi kedua-dua buah institusi.

    Lim Kian Boon (dua dari kiri) dan Chung Yea Fui (dua dari kanan) menandatangani MoU dengan disaksikan oleh Dr Haji Azman (tengah). – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Menerusi kerjasama itu, tambahnya, ia dihasratkan untuk meningkatkan keupayaan, memupuk inovasi dan menyumbang kepada peningkatan standard penjagaan kesihatan. Ke arah mencapai matlamat itu, pihaknya telah menggariskan beberapa bidang kerjasama yang akan menjadi asas kepada kolaborasi itu termasuk perkongsian program kurikulum di mana menerusi perkongsian itu, kedua-dua belah pihak dapat memanfaatkan kekuatan masing-masing serta sumbang untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran bagi pelajar-pelajar mereka.

    Sementara itu, Chung Yea Fui dalam ucapan alu-aluannya pula menyatakan matlamat MoU adalah untuk memupuk kerjasama antara kedua-dua buah institusi dalam penjagaan kesihatan serta program latihan, pendidikan dan penyelidikan sains kesihatan.

    Dalam hubungan itu, kedua-dua insitusi berikar untuk memanfaatkan kekuatan, kepakaran dan sumber kolektif untuk menangani pelbagai cabaran dalam sains kesihatan dan penjagaan kesihatan.

    Ke arah itu, beliau menyatakan bahawa latihan dan pendidik merupakan tonggak kepada kolaborasi mereka di mana dengan menyelaraskan program pendidikan dan berkongsi amalan terbaik mereka dapat meningkatkan kualiti pendidikan penjagaan kesihatan.

    Semua itu adalah untuk memastikan bahawa pelajar-pelajar mereka bukan sahaja dilengkapi dengan ilmu pengetahuan tetapi juga kompetensi dan kemahiran untuk cemerlang dalam bidang pilihan mereka.

    Dengan MoU itu, PB dan JCHS berusaha untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi menggalakkan dan mempromosi kolaborasi dalam perkongsian
    program kurikulum, membangunkan sebuah Perjanjian Artikulasi, pertukaran kakitangan dan pelajar, menganjurkan program akademik dan pesidangan bersama dalam bidang-bidang berkepentingan bersama serta kerjasama dalam bidang-bidang lain.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    12 terbunuh dipancar kilat di India

    NEW DELHI, 17 MEI - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan beberapa lagi mangsa cedera, kelmarin akibat dipanah petir di Bengal Barat, di timur India,...