Friday, September 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar baharu diseru jiwai nilai-nilai UTB

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Tugasan seorang pelajar Universiti Teknologi Brunei (UTB) bukannya hanya belajar tetapi ia adalah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan baharu, membangunkan kemahiran baharu dan meningkatkan sifat peribadi mereka dalam mempersiapkan diri bagi kehidupan sepanjang hayat.

    Ke arah itu, para pelajar diseru bagi menjadi sebahagian daripada komuniti yang bekerjasama ke arah mencapai misi untuk menghasilkan bakat bagi sebuah masyarakat berdaya usaha global dan mampan yang berakar umbi dalam falsafah negara, Melayu Islam Beraja, ke arah merealisasikan wawasan 2035.

    Seruan itu dibuat oleh Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dalam ucapannya semasa Majlis Ucapan Naib Canselor bagi Mengalu-alukan Pelajar Baharu UTB Tahun Akademik 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Fasa 3, UTB, hari ini.

    Beliau menyeru para pelajar untuk menjiwai nilai-nilai universiti berkenaan di mana mereka harus mempunyai komitmen tidak berbelah-bahagi kepada prinsip moral, etika dan kejujuran ke arah membina sebuah masyarakat yang adil dan saksama.

    Mereka juga harus mempunyai rasa tekad yang mendalam dan keupayaan untuk mengemudi situasi rumit dengan menangani cabaran, memupuk penyesuaian diri, membina daya tahan dan gigih berhadapan kesusahan.

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah dalam ucapannya turut berkongsi nasihat dengan para pelajar baharu iaitu untuk menjadi bertanggungjawab dan berdikari, sentiasa berhubung serta memanfaatkan masa mereka di universiti.

    Mengulas lanjut, beliau berkata semasa berada di universiti, mereka akan diberikan lebih banyak kebebasan dalam pembelajaran tetapi bersamanya juga hadir lebih banyak tanggungjawab.

    Oleh itu, beliau menyarankan kepada mereka bahawa jika berasa terbeban, mereka harus mendapatkan bantuan dengan berjumpa ahli fakulti atau kaunselor.

    Beliau mengakui bahawa bulan-bulan permulaan pengajian bagi para pelajar adalah yang paling mencabar. Oleh itu, beliau menasihatkan para pelajar untuk bercakap dengan rakan-rakan atau Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kerana sokongan rakan sebaya dikenali sebagai penyumbang kepada kejayaan pelajar.

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah seterusnya menasihatkan para pelajar baharu untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan di mana apa yang dipelajari mereka di bilik darjah boleh diaplikasikan di tempat kerja.

    Beliau menyatakan bahawa terdapat banyak peluang yang hadir menerusi penempatan, lawatan, seminar dan bengkel.

    Di samping itu, mereka juga digalakkan untuk menjadi kreatif dan menganjurkan inisiatif baharu menerusi penyertaan dalam kelab, MPP atau mempelopori inisiatif baharu mereka sendiri.

    Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau sekali lagi mengingatkan para pelajar bahawa jika mereka memerlukan bantuan dengan masalah akademik dan peribadi, mereka tidak harus mengabaikannya dan menganggap bahawa ia akan berlalu dari semasa ke semasa kerana masalah itu hanya akan menjadi lebih teruk jika ia tidak ditangani tepat pada masanya.

    “Dapatkan bantuan secepat mungkin. Bercakap dengan ahli fakulti, kaunselor, ibu bapa atau penjaga awda. Sentiasa mohon petunjuk Allah untuk setiap apa yang kita inginkan dalam hidup, tidak kira besar atau kecil,” katanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda