Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin Hamas terbunuh dalam serangan di Iran

    TEHRAN, 31 JULAI – Pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh, terbunuh dalam serangan udara Israel di Iran hari ini, ketika beliau menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu negara itu.

    Hamas berikrar tindakan tersebut ‘tidak akan dibiarkan tanpa pembalasan’.

    Pembunuhan Haniyeh berlaku selepas Israel melancarkan serangan ke atas kubu kuat Hizbullah di selatan Beirut semalam, membunuh seorang komander kanan kumpulan yang disokong Iran itu, yang didakwa bertanggungjawab atas serangan roket di Bukit Golan yang diduduki Israel hujung minggu lalu.

    “Saudara pemimpin, mujahid Ismail Haniyeh, ketua pergerakan, telah meninggal dunia dalam serangan Zionis ke atas kediamannya di Tehran selepas beliau menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu (Iran),” kata Hamas dalam satu kenyataan.

    Anggota Biro Politik Hamas, Musa Abu Marzuk berikrar bahawa kumpulan tersebut akan membalas dendam.

    Ismail Haniyeh bercakap semasa sesi taklimat bersama media di Tehran, pada 26 Mac. – AP

    “Pembunuhan pemimpin Ismail Haniyeh adalah tindakan pengecut yang tidak akan dibiarkan tanpa pembalasan,” katanya.

    Pengawal Revolusi Iran (IRGC) turut mengesahkan kematian itu, menyatakan bahawa kediaman Haniyeh di Tehran telah ‘dibedil’ dan beliau terbunuh bersama seorang pengawal peribadinya.

    “Kediaman Ismail Haniyeh, ketua pejabat politik Hamas-Pergerakan Tentangan Islam, diserang di Tehran, menyebabkan beliau dan seorang pengawal peribadinya mati syahid,” menurut kenyataan di laman web Sepah News milik IRGC.

    Media Iran melaporkan bahawa serangan yang membunuh Haniyeh berlaku sekitar pukul 2 pagi waktu tempatan, menyasarkan ‘kediaman khas untuk veteran perang di utara Tehran’ di mana beliau tinggal.

    Haniyeh telah berkunjung ke Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Masoud Pezeshkian, kelmarin.

    Israel enggan memberikan komen. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda