Saturday, May 4, 2024
24 C
Brunei

    -

    Penebangan hutan Amazon cecah rekod tertinggi

    RIO DE JANEIRO, 8 MEI – Penebangan hutan Amazon di Brazil pada bulan lalu memecah rekod bagi bulan April, memusnahkan lebih 1,000 kilometer persegi hutan hujan terbesar dunia, hampir dua kali ganda rekod sebelumnya, menurut angka rasmi yang keluar baru-baru ini.

    Rekod itu – ketiga dalam empat bulan – adalah statistik terbaharu mengenai kehilangan hutan Amazon di bawah pentadbiran Presiden Jair Bolsonaro.

    Gambar satelit menunjukkan jumlah kawasan hutan yang musnah merangkumi 1,012.5 kilometer persegi pada 1 hingga 29 April, dengan hari terakhir bulan itu masih belum dianalisis, menurut sistem pengawasan Deter yang dikendalikan agensi angkasa INPE.

    Kawasan itu, bersamaan dengan kira-kira 140,000 padang bola sepak, setakat ini yang terbesar untuk April sejak rekod bermula pada 2015.

    Penebangan hutan biasanya menjadi perlahan pada April, musim hujan di Amazon. Reko sebelumnya untuk bulan itu adalah 580 kilometer persegi, dicatat tahun lalu – juga di bawah pimpinan Bolsonaro.

    “Angka tersebut adalah amat tinggi untuk tempoh tahun ini,” kata Mariana Napolitano, pengarah sains di pejabat Tabung Hidupan Liar Brazil, dalam satu kenyataan.

    “Ia merupakan satu amaran mengenai tekanan besar yang dialami hutan.”

    Pakar mengingatkan Brazil mungkin mengalami penebangan hutan tinggi untuk empat tahun berturut-turut tahun ini, selepas juga mencatat rekod bulanan pada Januari dan Februari. – AFP

    Gambar fail menunjukkan pemandangan udara penebangan hutan di rantau Amazon Barat di Brazil. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...