Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penerbangan ketiga, keempat bakal haji negara berlepas

    Oleh Nurdiyanah R & Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Ruang berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) dipenuhi dengan ahli keluarga dan sanak saudara serta sahabat handai yang hadir bagi mengucapkan selamat berlepas kepada seramai 252 orang bakal jemaah haji yang berlepas ke Tanah Suci bagi penerbangan keempat dan terakhir, hari ini.

    Rombongan bakal jemaah haji berkenaan yang termasuk pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Perubatan); dan pegawai Syarikat Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) dijangka tiba di Madinah pada pukul 2:40 petang waktu tempatan dengan menaiki pesawat Penerbangan Diraja Brunei (RB) BI4207.

    Hadir di LTAB bagi mengucapkan selamat belayar ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang juga selaku Pemangku Menteri Kesihatan; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah Al Buraithin.

    Bagi penerbangan berkenaan, seramai 249 orang bakal jemaah haji iaitu 116 orang lelaki dan 133 orang perempuan mengikuti pakej di bawah DSSB. Turut mengiringi rombongan ialah tiga orang pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Perubatan) iaitu seorang lelaki dan dua orang perempuan.

    Sementara itu, kelmarin, seramai 253 orang bakal jemaah haji berlepas meninggalkan negara bagi penerbangan ketiga dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI4205 dan dijangka tiba di Madinah pada pukul 2:40 petang waktu tempatan.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan TYT Mohammed Abdullah Al Buraithin semasa hadir di LTAB bagi mengucapkan selamat berangkat kepada bakal jemaah haji negara yang menggunakan penerbangan ketiga. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI DAN ADIB NOOR
    Antara bakal jemaah haji bagi penerbangan ketiga sempat bersalaman dengan isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI DAN ADIB NOOR
    ATAS & BAWAH : Antara bakal jemaah haji yang menggunakan penerbangan keempat. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI DAN ADIB NOOR
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI DAN ADIB NOOR
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI DAN ADIB NOOR

    Turut mengiringi bakal jemaah haji berkenaan ialah tujuh pegawai dari pejabat urusan jemaah haji Negara Brunei Darussalam (Perubatan) serta pegawai-pegawai dari DSSB, Syarikat Al-Hijrah Travel & Tours Sdn Bhd, Syarikat At-Taqwa Travel Tours Sdn Bhd, Syarikat Dar El-Ehsan Travel Sdn Bhd dan Syarikat Raudah Al-Amin Sdn Bhd.

    Hadir di LTAB bagi mengucapkan selamat belayar ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; dan TYT Mohammed Abdullah
    Al Buraithin.

    Pada penerbangan berkenaan, seramai 44 bakal jemaah haji mengikuti pakej Al-Hijrah Travel & Tours Sdn Bhd, seramai 54 orang di bawah pakej At-Taqwa Travel Tours Sdn Bhd; seramai 59 bakal jemaah haji mengikuti pakej Dar El-Ehsan Travel & Tours Sdn Bhd; seramai 28 di bawah pakej Raudah Al-Amin Sdn Bhd manakala itu, seramai 61 orang lagi mengikuti pakej Titian Travel & Tours Sdn Bhd.

    Juga hadir pada kedua-dua hari berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, setiausaha-setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kesihatan serta pemangku-pemangku setiausaha tetap.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda