Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penerima Sultan’s Scholar tandatangani perjanjian

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT- Lima orang penerima Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) bagi sesi pengajian 2024/2025 telah menandatangani perjanjian pada Majlis Penandatanganan Perjanjian Penganugerahan Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan di Dewan An-Naura, Tingkat 2, Kompleks Yayasan, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Majlis penandatanganan perjanjian tersebut adalah kesinambungan daripada Majlis Penganugerahan Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan 2024/2025 yang berlangsung di Istana Nurul Iman, kelmarin.

    Para penerima biasiswa berkenaan ialah Dayang Nur Hidayah Haziyah binti Handrie, Awang Muhammad Asfa Radhi bin Mohammad Yusran, Awang Muhammad Nafeez bin Haji Arbaie, Awang Muhammad Afiq bin Abdul Rahman dan Awangku Mohammad Idris Fadhlee bin Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Pegawai Buhuth, Jabatan Mufti Kerajaan yang juga Alumni Sultan’s Scholar Yayasan, Pengiran Haji Muhammad Wafiuddin bin Pengiran Haji Zulkarnain.

    Acara kemudian diteruskan dengan penandatanganan perjanjian penerimaan biasiswa bagi kelima-lima penerima yang ditemani bersama dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa penerima atau ahli keluarga terdekat.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bergambar bersama Dayang Nur Hidayah Haziyah dan ibu bapanya pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyaksikan penandatanganan perjanjian bagi Awang Muhammad Asfa Radhi baru-baru ini. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Awang Muhammad Afiq ditemu bual media pada majlis itu. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Awangku Mohammad Idris Fadhlee semasa ditemui media. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Manakala bagi pihak Yayasan pula, penandatanganan dilakukan oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak bersama Penolong Pengarah Urusan Yayasan, Haji Abdullah @ Dollah bin Haji Ahad, dengan disaksikan tetamu kehormat majlis.

    Dalam temu bual dengan Media Permata, Awangku Mohammad Idris Fadhlee menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan pihak Yayasan di atas pengurniaan biasiswa Sultan’s Scholar ini.

    “Alhamdulillah saya berasa amat bersyukur dan gembira atas anugerah ini dan Insya-Allah saya akan menggunakan peluang keemasan ini bagi meraih kejayaan dalam bidang yang diceburi sekali gus membantu merealisasikan dan menjayakan wawasan Brunei 2035, dan menaburkan bakti demi agama, negara dan bangsa dengan ilmu pengetahuan yang diperoleh di Mesir nanti,” katanya.

    Sementara itu, Awang Muhammad Afiq berkata kepada Media Permata bahawa beliau berasa amat bersyukur dan gembira atas anugerah yang diberikan.

    “Untuk menerima anugerah ini bukanlah mudah, ia memerlukan kerja keras untuk mendapatkannya,” ujarnya.

    Beliau yang akan melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi dalam bidang Matematik bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah di institusi pendidikan di Negara Brunei Darussalam.

    Manakala Dayang Nur Hidayah Haziyah semasa ditemu bual, memberitahu program yang akan diikutinya meliputi aspek dasar dan pengurusan alam sekitar, sejajar dengan Wawasan Brunei 2035 dan juga program kepimpinan yang sesuai dengan pembelajaran pendidikan yang diceburi.

    Majlis berakhir dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi para penerima biasiswa yang akan bertolak dari Negara Brunei Darussalam bagi meneruskan pengajian masing-masing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda