Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengurusan anggota manusia yang terpisah dari tuannya

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Pemeliharaan Islam terhadap manusia tidak hanya terbatas pada waktu hayatnya sahaja. Hatta setelah seseorang itu meninggal dunia, Islam tetap memelihara dan menjaga kehormatannya, umpamanya dengan menggariskan tatacara tertentu untuk mengurus jenazahnya dan seumpamanya. Bahkan lebih daripada itu, Islam turut memuliakan dan menghormati setiap anggota atau bahagian tubuh manusia sehinggakan syari‘at Islam telah menggariskan panduan tertentu dalam mengurus anggota manusia yang terpisah daripada tuannya.

    ANGGOTA YANG TERPISAH DARI TUANNYA KETIKA HIDUP

    Anggota manusia yang terpisah dari tuannya ketika dia hidup dihukumkan suci. Sekiranya anggota tersebut hendak dibuang, maka sunat anggota tersebut dibungkus dan kemudian ditanam serta tidak harus bahkan tidak sah anggota tersebut disembahyangkan.

    Demikian juga, kaedah pengurusannya adalah sama sekiranya tidak diketahui adakah anggota tersebut terpisah dari tuannya semasa dia masih hidup ataupun setelah dia mati.

    Hukum ini terpakai sekiranya anggota tersebut bukan daripada anggota yang haram dilihat oleh bukan mahramnya. Sekiranya anggota yang terpisah itu adalah daripada bahagian aurat, seperti rambut perempuan atau mana-mana bahagian daripada anggota tubuh sama ada lelaki atau perempuan yang haram dilihat oleh bukan mahramnya ketika ia masih bersambung dengan badannya, maka wajib ia ditanam.

    ANGGOTA YANG TERPISAH DARI TUANNYA KETIKA MATI

    (1) Anggota Orang Islam

    Sekiranya ditemui satu anggota mayat seorang Islam dan anggota tersebut diyakini telah terpisah dari tuannya selepas dia meninggal dunia, ataupun dia terus meninggal dunia sejurus anggota tersebut terpisah dari tuannya, maka wajib diuruskan anggota tersebut sepertimana diuruskan jenazah seorang Islam iaitu dimandikan, dibungkus dengan kain, disembahyangkan dan kemudian ditanam.

    Foto Canva

    Mengenai niat ketika menyembahyangkan sebahagian anggota mayat yang ditemui itu pula adalah seperti berikut:

    (i) Wajib diniatkan ke atas keseluruhan mayat, bukan setakat anggota itu sahaja sekiranya anggota-anggotanya yang lain sudah dimandikan tetapi belum disembahyangkan.

    Sekiranya anggota-anggota lain sudah disembahyangkan, maka sunat sahaja meniatkannya ke atas keseluruhan mayat.

    (ii) Sekiranya anggota-anggota lain belum dimandikan, maka wajib hukumnya meniatkan sembahyang itu ke atas anggota yang terpisah sahaja. Tidak sah meniatkannya ke atas keseluruhan mayat.

    (iii) Sekiranya dia syak adakah anggota-anggota yang lain sudah dimandikan ataupun belum, maka tidak sah niat kecuali dengan ta‘liq (bersyarat) sepertimana yang disebut oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah. Ini umpamanya dia berniat: Sahaja aku sembahyang atas bahagian ini, serta atas bahagian-bahagian yang lain sekiranya ia (bahagian-bahagian yang lain itu) sudah dimandikan.

    Sekiranya anggota yang dijumpai itu pula diyakini adalah anggota orang Islam, akan tetapi tidak diketahui adakah orang tersebut sudah mati ataupun belum pada ketika anggota tersebut ditemukan, maka tidak boleh dan tidak sah anggota tersebut disembahyangkan.

    (2) Anggota Orang Kafir Dzimmi

    Sekiranya anggota mayat tersebut adalah anggota seorang kafir dzimmi yang terpisah daripada tuannya selepas dia mati, maka menurut ulama, wajib anggota tersebut dibungkus dan ditanam.

    (3) Anggota Orang Yang Tidak Diketahui Sama Ada Islam Atau Bukan

    Dalam hal sekiranya tidak diketahui adakah anggota mayat terpisah itu dimiliki oleh orang Islam atau bukan, sedangkan ia dijumpai dalam negeri Islam, maka hendaklah disempurnakan sepertimana jenazah seorang Islam, iaitu dimandikan, dibungkus, disembahyangkan dan ditanam. Ini dengan syarat hendaklah diyakini tanpa syak, bahawa anggota itu terpisah semasa atau setelah dia mati.

    Memandangkan dalam hal ini tidak diketahui adakah anggota mayat yang terpisah itu dimiliki oleh seorang yang berugama Islam ataupun bukan, maka sembahyang itu hendaklah diniatkan secara ta‘liq (bersyarat), iaitu dengan berniat untuk mengerjakan sembahyang tersebut atas dasar dia mungkin adalah seorang Islam, umpamanya: Sahaja aku sembahyang ke atas mayat ini sekiranya dia adalah seorang Islam….

    Adapun sekiranya anggota tersebut dijumpai di negeri bukan Islam pula, maka menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullah, hukum anggota tersebut adalah seperti hukum kanak-kanak laqith (pungut), iaitu:

    i) Jika terdapat orang Islam di dalam negeri bukan Islam itu, maka dia dihukumkan sebagai berugama Islam.

    ii) Sebaliknya jika tiada orang Islam di dalam negeri bukan Islam itu, maka dia dihukumkan kafir.

    Menurut Syeikh Ahmad Al-Maghribi Rahimahullah, sekiranya dalam negeri bukan Islam itu ada orang Islam, maka disembahyangkan anggota tersebut. Beliau berkata yang ertinya:

    Maka hukum mayat yang tidak dikenali (atau anggotanya), adalah sama dengan hukum laqith, dan permasalahannya ialah: Apabila ia dijumpai dalam negeri bukan Islam dan di situ ada orang Islam, sesungguhnya ia disembahyangkan.

    Apabila disyari‘atkan untuk disembahyangkan anggota tersebut, maka dengan sendirinya sebelum disembahyangkan ia juga wajib dimandikan dan dibungkus. Kemudian selepas disembahyangkan, ia wajib tanam.

    URI ATAU TEMBUNI

    Mengikut Kamus Dewan, tembuni atau uri ialah sampul tian atau uri yang bersambung dengan tali pusat yang keluar sesudah anak damit dilahirkan. Ia juga disebut tebuni oleh sebilangan masyarakat tempatan. Adapun tian pula diertikan sebagai bahagian perut tempat anak damit berada semasa dalam kandungan.

    Tembuni kecil pula diertikan sebagai uri yang bersambung dengan tali pusat (tali uri).

    Dalam permasalahan ini, terdapat dua istilah yang perlu diambil perhatian, iaitu istilah ‘tembuni’ sebagai uri yang membungkus anak damit ketika dalam kandungan, yang disebut dalam Bahasa Arab sebagai al-masyimah, serta ‘tembuni kecil’ sebagai uri yang bersambung dengan tali pusat anak damit, yang dalam Bahasa Arab disebut sebagai al-khalash.

    Menurut asy-Syaikh al-Qalyubi Rahimahullah, tembuni kecil yakni al-khalash dikira sebagai sebahagian anggota anak damit kerana ia dipotong daripada anak tersebut. Adapun tembuni pula, yakni al-masyimah, adalah tersendiri, iaitu tidak dikira sebahagian anggota ibu yang mengandung dan tidak juga sebahagian daripada anak damit. Asy-Syaikh al-Qalyubi Rahimahullah berkata yang ertinya:

    Tembuni yang dinamakan sebagai al-khalas (tembuni kecil) adalah seperti anggota (anak) kerana ia diputus dari anak berkenaan. Maka ia adalah sebahagian darinya. Adapun tembuni yang di dalamnya anak (pembungkus anak) maka ia bukan sebahagian daripada ibu dan bukan juga daripada anak.

    Pada kelazimannya, tembuni ini akan diserahkan kepada pihak keluarga perempuan yang telah bersalin. Berbagai cara pengendalian tembuni yang dilakukan oleh masyarakat kita.

    Apa yang menjadi persoalan di sini, bagaimanakah kaedah pengurusan tembuni yang betul menurut syara‘?

    Menurut asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullah dalam kitab Mughni al-Muhtaj yang ertinya:

    Maka bahagian yang terpisah daripada manusia atau ikan atau belalang adalah suci, manakala daripada selainnya adalah najis. Dan sama juga dengan tembuni iaitu pembungkus anak, tembuni manusia dan lainnya. Adapun anggota yang terpisah daripadanya (manusia atau selain manusia) setelah matinya maka hukumnya adalah mengikut hukum mayat manusia atau bangkai binatang itu tanpa ada keraguan.
    Beliau berkata lagi yang ertinya:

    Adapun sesuatu yang terpisah daripada sesuatu yang hidup atau kita ragu tentang kematiannya seperti (potongan) tangan pencuri, kuku, rambut, darah beku (‘alaqah), darah bekaman dan seumpamanya, maka sunat ditanam kerana memuliakan tuannya.

    Sunat juga membungkus tangan tersebut dan seumpamanya itu dengan kain sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Mutawalli.

    Manakala dalam kitab Nihayah al-Muhtaj disebutkan yang ertinya:

    Dan termasuk dalam bahagian yang terpisah daripada sesuatu yang hidup itu juga ialah tembuni yang di dalamnya anak (pembungkus anak), hukumnya adalah suci (sekiranya ia) daripada manusia, najis sekiranya ia bukan daripada manusia.

    Maka berdasarkan pendapat yang dinukil daripada ulama-ulama asy-Syafi‘i ini, dapatlah difahami bahawa tembuni dan tembuni kecil yang dipisahkan daripada anak itu adalah suci, bukan najis. Sebagai penghormatan kepada anggota manusia, maka tembuni dan tembuni kecil tersebut sunat dibungkus dengan kain atau lainnya dan ditanam jika ia dipisahkan ketika anak berkenaan hidup.

    Jika ia dipisahkan setelah anak berkenaan meninggal dunia, maka penyempurnaannya adalah mengikut penyempurnaan jenazah anak berkenaan. Begitu juga haram dan dilarang menggunakan uri, darah dan anggota manusia itu pada bahan-bahan alat solek dan berhias sebagai penghormatan kepada anggota tubuh manusia.

    Demikian beberapa penjelasan tentang kaedah pengurusan anggota manusia yang terpisah dari tuannya. Apa yang perlu diambil perhatian, setiap anggota manusia yang terpisah dari tuannya, sama ada ketika dia hidup ataupun mati tidak boleh diurus secara sesuka hati.

    Islam telah menetapkan kaedah-kaedah pengurusan yang tertentu yang perlu dipenuhi agar anggota-anggota tersebut terpelihara kehormatannya sepertimana yang dituntut oleh syara‘.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda