Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peniaga rugi lebih rm140,000 ditipu beli kereta di Facebook

    IPOH, 13 OGOS – Seorang lelaki tempatan mengalami kerugian RM147,600 selepas diperdaya dalam urusan pembelian kereta yang ditawarkan menerusi Facebook, baru-baru ini.

    Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata siasatan awal mendapati pada 15 April lepas, peniaga berusia 53 tahun itu telah melihat iklan penjualan kereta jenis Mercedes-Benz pada laman sosial tersebut dan menekan pautan WhatsApp tertera. Beliau berkata mangsa berhubung dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai jurujual di sebuah syarikat jualan kereta di Selangor, kemudiannya ditawarkan harga jualan sebanyak RM113,000 dengan ansuran bulanan RM1,328.80, selain diyakinkan telah memenangi hadiah cabutan bertuah sebuah iPad.

    Azizi berkata selepas tertarik dengan tawaran yang diberikan, mangsa membuat pembayaran wang pendaftaran sebanyak RM2,680 ke dalam akaun bank yang diberikan suspek dan dijanjikan penghantaran kereta pada 19 April.

    “Bermula 17 April hingga 25 Julai mangsa telah membuat 32 transaksi bayaran ke dalam sembilan akaun bank yang diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM144,920 bagi pelbagai tujuan bayaran iaitu insurans, cukai jalan, AP permit, duti import, pengaktifan akaun, surat perjanjian jual beli dan duti setem,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Azizi berkata suspek bagaimanapun masih meminta mangsa membuat bayaran seterusnya berjumlah RM20,000 bagi bayaran perjanjian jual beli yang tamat tempoh dan duti setem. Beliau berkata mangsa yang mulai curiga dan merasakan proses pembelian terlalu rumit, membuat laporan polis pada 6 Ogos untuk siasatan lanjut dengan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Justeru, Azizi menasihati orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan sebelum membuat pembelian dan jangan mudah percaya dengan iklan jualan yang menawarkan harga murah atau istimewa yang tidak dapat dipastikan kesahihan.

    Selain itu, katanya orang ramai juga boleh hadir secara fizikal ke syarikat jualan kenderaan untuk melihat sendiri kenderaan yang dijual serta berbincang dengan ejen jualan yang sah.

    “Pembeli juga boleh membuat semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon terlebih dahulu di portal Semakmule untuk mengenal pasti akaun yang terbabit dengan penipuan,” katanya. – Bernama 

    Gambar Unsplash

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda