Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peranan Humber dalam Revolusi Carnation

    LISBON – Untuk membina semula kereta perisai vintaj Humber 1942, pakar telah menyusun lebih daripada 1,000 bahagian bagi memastikan ia bersedia untuk sambutan yang menandakan 50 tahun sejak Revolusi Carnation di Portugal.

    “Saya berasa sungguh terharu untuk melihat kenderaan yang pernah saya naiki pada hari itu sekali lagi. Saya tahu selepas ini, Portugal tidak akan sama lagi,” kata Jose Afonso de Oliveira, seorang ahli psikologi berusia 73 tahun yang telah bersara, kepada AFP.

    Pada 25 April 1974, beliau mengetuai pasukan menaiki kenderaan buatan British ini yang menyertai pasukan kereta berperisai yang memasuki ibu kota Portugal untuk menggulingkan pemerintahan diktator berusia 48 tahun.

    “Saya tidak tahu. Saya boleh ditangkap, tetapi rejim itu sudah berada di ambang kehancurannya,” kenang bekas leftenan kedua itu, yang merupakan salah seorang daripada kira-kira 5,000 tentera yang terlibat dalam rampasan kuasa tersebut.

    Hanya beberapa hari sebelum majlis ulang tahun, beliau melawat bengkel di mana sekumpulan kecil peminat telah menghabiskan dua tahun lalu memulihkan kenderaan berperisai yang mengambil bahagian dalam acara itu.

    Juruteknik Persatuan Kenderaan Antik Tentera Portugal, Jose Nascimento, bekerja pada pemulihan Humber yang digunakan dalam Revolusi Carnation di gudang tentera di Oeiras pada 26 Mac 2024. – AFP
    Oliveira, Nascimento dan Carvalho melihat kenderaan tentera, Humber yang dipulihkan sempena ulang tahun ke-50 Revolusi Carnation di Oeiras pada 26 Mac 2024. – AFP
    Humber merupakan salah satu daripada kereta berperisai yang digunakan dalam Revolusi Carnation pada 1974. – AFP

    “Ini seperti teka-teki yang sebenar,” kata Antonio Carvalho, seorang jurutera berusia 41 tahun yang telah bekerja pada projek itu pada masa lapangnya.

    Pada peringkat ini, Humber masih belum siap sepenuhnya, dengan beberapa bahagian masih menunggu untuk dipasang semula di rak-rak yang terletak di dalam gudang tentera ini di pinggir Lisbon.

    MEMBINA SEMULA REVOLUSI

    “Nasib baik kami telah dibantu oleh seorang lelaki Inggeris yang menghantar manual dan alat-alat ganti yang jarang ditemui melalui kedutaan Portugal di London,” jelas seorang peminat sejarah yang merupakan ahli Persatuan Kenderaan Antik Tentera Portugal.

    Sebagai sebahagian daripada acara peringatan rasmi pada April lalu, Humber telah menjadi salah satu daripada kira-kira 15 kenderaan yang mengambil bahagian dalam pembinaan semula bersejarah pasukan kereta berperisai yang memandu ke Lisbon yang diketuai oleh salah seorang wira revolusi, Kapten Jose Salgueiro Maia, yang meninggal dunia pada tahun 1992.

    Di dalam gudang itu juga terdapat replika kereta berperisai Chaimite buatan Portugal yang dikenali sebagai Bula yang membawa bekas perdana menteri yang digulingkan, Marcelo Caetano, yang pernah memegang tampuk pemerintahan diktator beberapa tahun sebelumnya daripada ketua diktator terdahulu, Antonio de Oliveira Salazar.

    Kenderaan-kenderaan yang digunakan untuk mengangkut tentera ini, telah digunakan dalam peperangan-peperangan penjajah yang dilakukan Portugal di Afrika antara 1961 dan 1974, dan ia telah menjadi salah satu simbol pemberontakan yang hampir tidak melibatkan pertumpahan darah.

    Simbol besar yang lain ialah bunga teluki (carnation flower) berwarna merah. Pada musim itu, bunga teluki yang mekar sepenuhnya telah diberikan kepada askar-askar, yang meletakkannya di muncung senjata mereka, yang akhirnya memberikan nama kepada revolusi ini.

    Mengimbas kembali, mereka yang berada di sana pada masa itu mengatakan bahawa keadaan mungkin menjadi sangat berbeza.

    “Apa-apa perancangan pun berkemungkinan tidak dapat dilaksanakan,” kata Jose Climaco, 75 tahun, salah seorang askar yang bersama Salgueiro Maia ketika mereka bertolak dari berek Santarem kira-kira 100 kilometer di utara Lisbon.

    “Kami tidak menghadapi sebarang halangan dalam perjalanan,” katanya kepada AFP, sambil mengimbau hari dia berada di dalam kereta perisai yang usang, terputus dari dunia kerana radionya tidak berfungsi.

    ‘ORANG RAMAI MAHUKAN PERMULAAN BAHARU’

    Sebaik tiba di ibu negara, keadaan menjadi tegang apabila mereka berdepan dengan unit tentera yang setia kepada rejim.

    “Kami hampir-hampir ditembak,” kata Antonio Goncalves, 74, seorang lagi askar pemberontak.

    “Kami telah diberikan arahan untuk membalas tembakan jika perlu, tetapi askar yang mereka hadapi akhirnya meletakkan senjata mereka,” katanya.

    Selepas berhenti seketika di Praca do Comercio, dataran besar yang menghadap ke Sungai Tagus, pasukan kereta berperisai itu kemudian menuju ke berek di mana Caetano telah berlindung bersama beberapa menterinya.

    Diiringi oleh beribu-ribu orang yang datang bersama-sama untuk menyokong mereka, askar-askar itu mengepung berek dengan tujuan untuk mengadakan rundingan dengan wakil rejim.

    “Semua orang menjadi sangat sensitif. Orang ramai jelas mahukan permulaan yang baharu,” kata Eduardo Gageiro, seorang jurugambar berita yang membuat liputan peristiwa bersejarah itu untuk majalah Portugal.

    ‘Kami diberitahu untuk memecahkan pintu berek’ dan kemudian ‘kami melepaskan beberapa das tembakan amaran’ untuk memaksa anggota kerajaan menyerah diri, kata Climaco.

    “Kemudian mereka akhirnya membuka pintu dan kereta perisai Bula masuk untuk mendapatkan Caetano dan menterinya, membawa mereka ke berek di utara bandar.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda