Thursday, May 2, 2024
26.9 C
Brunei

    -

    ‘Perlu sedia hadapi perubahan iklim’

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar serahan Kementerian Pembangunan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Negara Brunei Darussalam mengalami kualiti udara yang baik tanpa asap jerebu rentas sempadan secara berterusan sepanjang tahun lalu.

    “Akan tetapi, disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu daripada kesan perubahan iklim, negara-negara anggota ASEAN perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana perubahan iklim begitu ketara dan menunjukkan impak yang jelas,” ujar Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Yang Berhormat Dato menyatakannya kelmarin semasa menghadiri Mesyuarat ke-17 Persidangan Ahli-ahli Parti kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (COP-17) di Singapura yang dipengerusikan oleh Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar Singapura, Puan Yang Terutama Grace Fu.

    Mesyuarat tersebut dihadiri oleh menteri, pegawai atau wakil alam sekitar, tanah, kebakaran hutan dan jerebu dari negara anggota ASEAN serta Setiausaha Agung Sekretariat ASEAN.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

    Yang Berhormat Menteri Pembangunan bergambar ramai pada mesyuarat tersebut.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bergambar ramai bersama tetamu pada mesyuarat yang diadakan di Singapura.

    Kementerian Pembangunan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, mesyuarat itu mengambil maklum mengenai kajian dan tinjauan keadaan cuaca dan jerebu yang dilaporkan oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC).

    Yang Berhormat Dato seterusnya menekankan ketika dunia mengalami perubahan iklim yang ketara itu, negara-negara anggota perlu meningkatkan usaha di peringkat kebangsaan dan serantau untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh mengakibatkan pencemaran jerebu rentas sempadan.

    Mesyuarat COP ke-17 juga menyatakan inisiatif ASMC dalam memajukan keupayaan menggunakan remote sensing dan sistem haze dispersion modelling bagi memantau dan menilai kebakaran dan keadaan jerebu.

    ASMC juga memaklumkan kepada mesyuarat bahawa Program Pembinaan Keupayaan Serantau ASMC akan dilanjutkan selama lima tahun lagi sehingga 2027, dengan program baharu seperti program latihan di ASMC.

    Mesyuarat juga mengambil maklum maklumat yang dilaporkan oleh Malaysia mengenai penambahbaikan Sistem Penarafan Bahaya Kebakaran Asia Tenggara (SEA FDRS) yang terdiri daripada tiga elemen iaitu peningkatan bilangan stesen cuaca, menambahbaikkan kod bahaya kebakaran bagi utara Asia Tenggara dan simulasi ramalan tujuh hari.

    Di samping itu, mesyuarat juga merakamkan penghargaan atas pelbagai inisiatif dan tindakan yang dijalankan oleh negara anggota ASEAN dan usaha berterusan dalam mengukuhkan keupayaan negara untuk tindakan dan kerjasama serantau. Ini seperti dalam penilaian, pencegahan, mitigasi dan pengurusan kebakaran lahan dan, atau hutan serta jerebu.

    Selain itu, Mesyuarat juga mengesahkan komitmen dari negara-negara parti ke arah pelaksanaan yang berkesan terhadap Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan, AATHP serta menyediakan Peta Jalan baharu Kerjasama ASEAN ke arah Kawalan Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan (Peta Jalan Bebas Jerebu), Roadmap on ASEAN Cooperation towards Transboundary Haze Pollution Control with Means of Implementation (Haze-free Roadmap) 2022-2030 dan Strategi Pengurusan Tanah Gambut ASEAN baharu, APMS 2022-2030.

    Mesyuarat itu mengambil maklum mengenai Pasukan Petugas ASEAN Tanah Gambut, ATFP dan Jawatankuasa di bawah Persidangan Ahli-ahli Parti Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan (COM) untuk memanfaatkan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.

    Mesyuarat ke-18 Persidangan Ahli-ahli Parti Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan akan diadakan pada 2023 di Laos, sejurus selepas Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Alam Sekitar ke-17.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jeremiah Manele dipilih sebagai PM baharu Kepulauan Solomon

    HONIARA, 2 MEI - Menteri Luar Jeremiah Manele dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Kepulauan Solomon oleh ahli Parlimen negara itu pada Khamis, umum Gabenor...