Tuesday, September 17, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persidangan ACT+1 kongsi kemajuan dalam pendidikan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Rombongan terdiri daripada 20 orang ahli Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) yang diketuai Yang Dipertua PGGMB, Haji Alim bin Haji Othman telah menghadiri Persidangan Majlis Guru-guru ASEAN+Korea (ACT+1) ke-38 yang berlangsung di Berkeley Hotel Pratunam, Bangkok, Thailand dari 6 hingga 8 September.

    Persidangan berkenaan menyaksikan penyertaan kira-kira 900 orang ahli delegasi yang mewakili negara-negara ASEAN dan Korea. Persidangan dengan tema Mempromosikan Persekolahan Gembira dan Mampan dalam Pendidikan itu dimulakan dengan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin ACT+1 ke-38 diikuti majlis makan malam mengalu-alukan kehadiran para delegasi.

    Pada majlis berkenaan, Setiausaha Agung, Teachers Council of Thailand, Penolong Profesor Dr Amonwan Werathummo dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada semua ahli delegasi atas sokongan serta solidariti mereka bagi persidangan berkenaan.

    Kehadiran para ahli delegasi berkenaan diharapkan dapat memberikan sumbangan buah fikiran untuk meningkatkan kemajuan pendidikan di negara-negara ASEAN dan negara masing-masing ke arah pendidikan yang lebih berkualiti tinggi serta berdaya saing dalam arus perkembangan teknologi yang mencabar ini.

    Persidangan yang dikendalikan oleh Teachers Council of Thailand merangkumi pelbagai atur cara termasuk Majlis Pembukaan Rasmi ACT+1 ke-38, pembentangan ucaptama, panel perbincangan, laporan negara bagi setiap negara yang menyertai persidangan, sesi selari, malam persahabatan serta majlis penutup rasmi Persidangan ACT+1 ke-38.

    Pada sesi laporan negara, Negara Brunei Darussalam telah mengetengahkan pembentangan daripada Pengetua Sekolah Menengah Katok, Dayang Penroose Saleha binti Haji Mohammad Salleh bertajuk, Pendekatan Inovatif kepada Pembelajaran dan Pengajaran menerusi Integrasi Teknologi Digital.

    Sementara itu, semasa sesi selari, kertas kerja bagi Negara Brunei Darussalam telah disampaikan oleh Guru Sekolah PGGMB Sungai Akar, Dayangku Nur Akmal Khairunisa binti Pengiran Rosli.

    Haji Alim bersama rombongan PGGMB bergambar ramai semasa persidangan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PGGMB
    Dayang Penroose Saleha dan Dayangku Nur Akmal Khairunisa membentangkan kertas kerja semasa persidangan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PGGMB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda