Tuesday, September 17, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Anwar ingatkan rakyat lebih celik kesihatan, kurangkan pengambilan gula

    PORT DICKSON, 8 SEPT – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat untuk mengambil serius berkenaan pengetahuan penjagaan kesihatan, terutama berkaitan keburukan pengambilan gula secara berlebihan.

    Beliau berkata ini kerana, bilangan penghidap kencing manis atau diabetes di Malaysia adalah yang tertinggi di Asia Tenggara, sekali gus menggambarkan kecelikan kesihatan dalam kalangan rakyat di negara itu masih pada tahap rendah.

    “Obesiti, berat badan berlebihan itu tinggi, kencing manis tinggi, jadi tolonglah selamatkan negara, selamatkan anak-anak, selamatkan keluarga, ibu bapa kita dengan mengawal sedikit pengambilan gula, bukan hentikan seluruhnya.

    “Bagaimana kurangkan obesiti? kurangkan karbohidrat, lebihkan senaman tapi jangan joging pada kempen bulan kesihatan sahaja. Perlu jaga kesihatan, kita sibuk, tapi alasan itu sangat remeh, kita sibuk tapi kita tidur, makan, jadi kita juga kena bersenam,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2024 yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di sini, hari ini.

    Perdana Menteri juga berkata kempen celik kesihatan atau kurangkan gula serta dasar literasi kesihatan yang diperkenalkan, hanya akan berkesan sekiranya masyarakat mengubah gaya pemakanan mereka bermula dari sekarang. – Bernama

    Anwar dilihat semasa melawat reruai pameran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada majlis perasmian Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan di Batu 1, Port Dickson, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda