Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Presiden Abbas mahu sidang tergempar UNSC diadakan

    RAMALLAH, 9 JUN – Presiden Mahmoud Abbas telah mengarahkan wakil Palestin ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk meminta sidang tergempar Majlis Keselamatan PBB (UNSC) diadakan bagi membincangkan kesan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera Israel di Kem Pelarian Nuseirat, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

    Serangan Israel ke atas kem Nuseirat telah mengorbankan lebih 210 orang dan mencederakan hampir 4,000 orang.

    Abbas sedang giat berusaha secara diplomatik dengan pihak berkepentingan Arab dan antarabangsa untuk mengadakan sidang tergempar Majlis Keselamatan PBB.

    Tujuannya adalah untuk menangani serangan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin dan memaksa Israel mematuhi resolusi antarabangsa, termasuk yang menyeru gencatan senjata segera, menurut laporan itu.

    Abbas menekankan keperluan mendesak untuk campur tangan antarabangsa bagi menghentikan bencana kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur.

    Beliau menegaskan bahawa Israel terus mengambil kesempatan atas tindakan berdiam diri antarabangsa dan sokongan Amerika Syarikat untuk melakukan jenayah yang melanggar semua resolusi antarabangsa dan undang-undang antarabangsa. – Bernama

    Gambar serahan pejabat akhbar Pihak Berkuasa Palestin menunjukkan Presiden Palestin Mahmoud Abbas (kanan) bersama Konsul Jeneral Turkiye pada 6 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda