Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program CBDRM labuh tirai

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 15 OGOS – Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) telah melabuhkan tirainya dalam majlis penutup yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, Kuala Belait, hari ini.

    Program selama dua hari itu bertujuan menyebarkan pengetahuan dalam kalangan pemimpin masyarakat bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan daya tahan bencana mereka, yang boleh membantu pihak berkuasa, agensi dan jabatan berkaitan semasa bencana.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan sijil pada majlis tersebut, Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi bin Haji Muhd Jamin.

    Antara yang mengambil bahagian dalam program berkenaan terdiri daripada penghulu, ketua kampung dan ahli majlis perundingan mukim dan kampung (MPMK) dari seluruh Mukim Belait. Dengan adanya program itu pemimpin masyarakat dari mukim tersebut kini berbekalkan pengetahuan dan alat untuk mempertingkatkan kesiapsiagaan serta daya tahan mukim dalam menghadapi bencana.

    Semasa program diadakan pada hari pertama, ketua-ketua masyarakat telah menghadiri beberapa ceramah menyentuh pelbagai topik, seperti Peranan Pusat Operasi Kecemasan Daerah (DEOC) yang disampaikan oleh Pejabat Daerah Belait untuk mengetahui maklumat cuaca yang mudah diakses di Brunei. Sementara ceramah Aplikasi Telefon Pintar WX pula di sampaikan oleh Jabatan Meteorologi Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Selain itu, para peserta turut mengambil bahagian dalam pelbagai sesi amali seperti Latihan Table-Top mengenai tindakan dan larangan bencana dan pertolongan cemas asas yang dipimpin oleh Perkhidmatan Kecemasan Ambulans Perubatan (EMAS) Kementerian Kesihatan di samping prosedur dan teknik menyelamat untuk mengangkat orang yang cedera yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

    Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi semasa menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima pada program tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda