Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Perkongsian Maklumat JAPEM perkukuh hubungan awam kerajaan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Seramai 31 pegawai dan pengamal perhubungan awam yang mewakili pelbagai kementerian telah menyertai Program Perkongsian Maklumat bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) yang diadakan pagi tadi di Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Program tersebut diadakan untuk meningkatkan lagi hubungan baik dan mengukuhkan rangkaian kerja di antara pegawai-pegawai dan pengamal perhubungan awam kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.

    Rombongan program berkenaan diketuai Pegawai Penerangan Kanan selaku Ketua Rombongan Jawatankuasa Perhubungan Awam Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan (JPAKK & JJK), Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar, yang dialu-alukan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Mirany Floridzah binti Abdul Rahman.

    Rombongan diberikan taklimat mengenai peranan, isu dan perkhidmatan yang ditangani oleh JAPEM khususnya isu-isu yang berkaitan dengan Sistem Kebajikan Negara (SKN); bantuan kebajikan bulanan; warga emas dan pencen-pencen; keluarga, wanita dan kanak-kanak; orang kelainan upaya; kaunseling dan talian-talian kebajikan JAPEM.

    Jabatan Penerangan selaku urus setia kepada JPAKK & JJK yang telah ditubuhkan pada 8 Mac 1997 akan terus merancang lawatan-lawatan sedemikian dalam usahanya untuk memberikan pengetahuan secara langsung mengenai isu semasa dan inisiatif-inisiatif kerajaan yang terkini.

    Selain itu, Jabatan Penerangan juga berperanan untuk menyediakan rangka perancangan latihan bagi pegawai-pegawai perhubungan awam dan pengamal perhubungan awam bagi ahli-ahli JPAKK & JJK.

    Ia adalah bertujuan untuk memantapkan barisan perhubungan awam di setiap kementerian dalam sama-sama menanai imej Kerajaan dan mengukuhkan lagi hubungan antara kerajaan dengan orang awam sebagai pengguna.

    Dayang Mirany Floridzah semasa menyampaikan taklimat. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Antara yang menghadiri program tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda