Friday, May 3, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Promosi keadilan sosial, hak pekerja

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman telah menghadiri Sesi ke-111 Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) dan Sidang Kemuncak Dunia Kerja: Keadilan Sosial untuk Semua yang diadakan pada 12 hingga 16 Jun lalu di Palais des Nations dan Ibu Pejabat Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Geneva, Switzerland.

    Persidangan berkenaan mengumpulkan tiga pihak daripada wakil kerajaan, pekerja dan majikan dari negara-negara anggota ILO. Wakil-wakil berkenaan terlibat dalam perbincangan yang meliputi pelbagai isu termasuk peralihan ke arah ekonomi yang mampan dan inklusif, perantisan berkualiti dan perlindungan pekerja serta laporan yang disampaikan oleh Ketua Pengarah ILO mengenai Memajukan Keadilan Sosial.

    Dalam menzahirkan komitmen berterusan, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bukan sahaja menyertai persidangan dan sidang kemuncak berkenaan, tetapi juga menyampaikan instrumen pengesahan Konvensyen Buruh Paksa C029 kepada Penolong Ketua Pengarah ILO pada 12 Jun.

    Langkah penting itu berfungsi untuk mengesahkan komitmen teguh kerajaan bagi menegakkan nilai dan cita-cita yang terkandung dalam konvensyen berkenaan. Ia menandakan satu pencapaian penting dalam usaha berterusan kerajaan untuk melindungi hak pekerja dan memerangi perbuatan buruh paksa dan pemerdagangan manusia.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri juga menyampaikan ucapan semasa sesi pleno pada 13 Jun, sebagai respons kepada Laporan Ketua Pengarah ILO, Tuan Yang Terutama Gilbert F Houngbo mengenai Advancing Social Justice.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyampaikan instrumen pengesahan Konvensyen Buruh Paksa C029 kepada Penolong Ketua Pengarah ILO pada 12 Jun lalu. – Gambar serahan Jabatan Buruh
    Gambar serahan Jabatan Buruh

    Yang Berhormat Dato menekankan komitmen dan inisiatif Negara Brunei Darussalam melalui pendekatan seluruh kerajaan untuk menyokong usaha memajukan keadilan sosial dan memastikan keadilan di tempat kerja sejajar dengan Deklarasi ASEAN mengenai Memperkukuh Perlindungan Sosial dan mematuhi piawaian serta dasar antarabangsa untuk melindungi hak asasi manusia dan kumpulan yang berisiko tinggi.

    Terdahulu, Yang Berhormat Dato menghadiri Mesyuarat Sarapan Pagi bersama menteri-menteri buruh ASEAN yang dihoskan oleh Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia di Hotel Beau-Rivage, Geneva.

    Mesyuarat Sarapan Pagi itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarah ILO dan ahli-ahli negara ASEAN yang lain. Ia berfungsi sebagai platform tahunan bagi para menteri membincangkan isu-isu berkaitan cabaran dan pembangunan pasaran buruh serta menerokai kerjasama yang mendalam dan meluas antara ASEAN dan ILO.

    Beliau juga menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kumpulan Asia Pasifik pada 13 Jun dan bertukar pandangan mengenai tema Mempromosikan Keadilan Sosial melalui Kerja yang Baik selepas Pandemik Koronavirus.

    Dalam kenyataannya, Yang Berhormat Dato mengongsikan inisiatif-inisiatif yang diambil kerajaan Brunei untuk memastikan akses universal kepada perkhidmatan penting, kemudahan dan peluang bagi kemajuan sosioekonomi, menekankan kepentingan mempromosikan keadilan sosial melalui kerja yang baik sebagai tonggak penting dalam usaha pemulihan selepas pandemik.

    Turut hadir semasa mesyuarat itu ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut; Ketua Sekretariat Manpower Planning dan Employment Council (MPEC), JPM, Dr Hajah Siti Haziah binti Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Pesuruhjaya Buruh, Awang Muhammad Saufi bin Haji Ibrahim dan pegawai-pegawai kanan KHEDN dan Jabatan Buruh; Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei, Haji Abdul Salam bin Haji Ahmad sebagai wakil majikan dan Timbalan Presiden Persatuan Pelaut Kitani, Awang Mohammad Fadhullah bin Haji Suhaili sebagai wakil pekerja.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...