Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk hubungan harmoni antara manusia, alam

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Pemimpin muda Brunei dan pengasas Mavensdotlive, Goh Chai Li; dan Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Belia di Persatuan Pembela, Dayang Siti Mariam, mencapai kejayaan besar di Forum Pembangunan Belia Dunia 2024 (WYDF) yang diadakan di Beijing dari 12 hingga 14 Ogos dan di Kampus Belia China-ASEAN di Nanning dari 14 hingga 16 Ogos.

    Forum tahun ini, bertemakan Bersama untuk Masa Depan yang Lebih Baik, telah menarik lebih daripada 2,000 wakil belia dari lebih 130 negara dan wilayah, serta 20 organisasi antarabangsa untuk menangani isu global yang mendesak dan memajukan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    WYDF, yang dianjurkan oleh Persekutuan Belia Seluruh China, PBB di China, dan Jawatankuasa WYDF, menawarkan program komprehensif yang merangkumi sesi plenari, forum tematik dan dialog interaktif.

    Acara itu menekankan peranan penting belia dalam mendorong kemajuan menuju Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan menyediakan platform untuk berkongsi penyelesaian inovatif serta amalan terbaik.

    Salah satu sorotan utama forum adalah segmen Pembangunan Hijau yang disertai oleh delegasi Brunei yang diadakan di Forum Pembangunan Belia China-ASEAN di Nanning.

    Para belia yang mewakili negara masing-masing bergambar ramai semasa menyertai forum tersebut. – GAMBAR SERAHAN YEAB
    Antara yang menghadiri forum berkenaan. – GAMBAR SERAHAN YEAB
    GAMBAR SERAHAN YEAB

    Acara bertemakan Inovasi Teknologi Hijau itu diadakan pada 16 Ogos lalu. Ia mengumpulkan kira-kira 150 peserta, termasuk belia dari organisasi antarabangsa, pegawai pembangunan hijau dan wakil projek, untuk meneroka peranan teknologi hijau dalam pembangunan mampan.

    Perbincangan pada Forum Pembangunan Hijau memfokuskan kepada aplikasi praktikal teknologi hijau, sumbangan belia terhadap kelestarian alam sekitar dan amalan berkesan dalam kebajikan awam hijau.

    Sehubungan itu, Ketua Persekutuan Belia Seluruh China, Hu Sheng, berkongsi kemajuan China dalam memupuk hubungan harmoni antara manusia dan alam, serta menyoroti sumbangan belia China dalam inisiatif hijau.

    Semasa WYDF, Goh Chai Li, dan Dayang Siti Mariam terlibat aktif dalam perbincangan produktif dengan rakan sebaya global. Mereka memberikan pandangan mengenai kelestarian, menyertai forum tematik, dan meneroka peluang kerjasama untuk meningkatkan pembangunan hijau dan kerjasama serantau.

    Pengetahuan dan hubungan berharga yang diperoleh oleh Chai Li dan Dayang Siti Mariam akan meningkatkan inisiatif Brunei dalam mempromosikan pembangunan hijau dan memperdayakan belianya. Penyertaan mereka menunjukkan komitmen Brunei terhadap penglibatan belia global dan usaha bersama dalam menangani cabaran yang dikongsi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda