Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk minat sertai Pertandingan CIPTA 2025

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Dalam usaha memupuk kesedaran dan merangsang minat orang ramai untuk menyertai Pertandingan CIPTA 2025, Jerayawara Pertandingan Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2025 telah diadakan secara hibrid di Dewan Kuliah 2, Kompleks Perpustakaan, Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini.

    Pertandingan Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2025 yang membawa tema Inovasi Hijau itu mengetengahkan tiga kategori utama, iaitu Kategori Tempatan, Pertandingan Junior Pintar dan Kategori ASEAN.

    CIPTA 2025 menandakan ulang tahun ke-20 pertandingan setiap dua tahun yang dianjurkan oleh UTB dengan kerjasama penaja utama, Brunei LNG Sdn Bhd (Brunei LNG).

    Jerayawara berkenaan dihadiri oleh wakil-wakil suruhanjaya tinggi dan kedutaan, industri-industri relevan, guru dan pelajar dari sekolah-sekolah menengah, kolej dan institusi serta orang ramai.

    Semasa jerayawara itu, Jawatankuasa Teknikal CIPTA 2025 mengadakan taklimat teknikal yang disampaikan oleh Awang Muhammad Khaliq Syafie bin Mohd Don dan Penyelaras Bootcamp bagi CIPTA 2025, Dr Sharina Yunos.

    Awang Muhammad Khaliq Syafie menyampaikan taklimat teknikal semasa jerayawara berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Antara yang menghadiri Jerayawara Pertandingan Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2025 di UTB. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Pembentang memberikan penerangan mengenai kategori, peraturan dan syarat, hadiah dan anugerah, tarikh-tarikh penting dan proses penghakiman di samping pentingnya untuk memupuk inovasi dan kreativiti serta kaitannya kepada Pertandingan CIPTA.

    Majlis diteruskan dengan dua sesi pembentangan yang disampaikan oleh pasukan Growth, Strategy dan Portfolio Brunei LNG dan Keusahawanan oleh Darussalam Enterprise sebelum jerayawara diakhiri dengan sesi soal jawab.

    Berhubung tiga kategori utama yang diketengahkan, Kategori Tempatan merangkumi tiga kategori iaitu Kategori 1: Mencipta Teknologi, Proses atau Produk Baharu, Kategori 2: Mengubah Suai Teknologi, Proses atau Produk yang Sedia Ada serta Kategori 3: Mencipta atau Mengubah Suai Teknologi, Proses atau Produk Baharu atau Sedia Ada oleh Pencipta Muda.

    Manakala Pertandingan Junior Pintar dibukakan kepada pelajar-pelajar sekolah Brunei daripada sekolah menengah bawah atau bersamaan dengan Tahun 7 hingga Tahun 9.

    Kategori ASEAN pula merangkumi dua kategori iaitu Kategori Inovasi dan Ciptaan Baharu serta Kategori Pencipta Muda.

    Tiga penyertaan yang mendapat markah tertinggi bagi setiap kategori akan dianugerahkan hadiah wang tunai bagi ciptaan terbaik. Di samping itu, penyertaan yang mencapai markah keempat dan kelima tertinggi akan menerima pengiktirafan khas.

    Selain itu, terdapat tambahan baharu bagi CIPTA 2025 berupa pingat bagi anugerah emas, perak dan gangsa di mana buat kali pertama, ciptaan yang mengambil bahagian layak menerima anugerah pingat emas, perak dan gangsa. Pingat berkenaan adalah untuk mengiktiraf produk-produk yang mendapat markah tinggi.

    Anugerah Khas bagi Tenaga Mampan pula mengiktiraf inovasi dalam penghasilan tenaga menumpukan kepada kemapanan dan akan dianugerahkan kepada projek-projek memperoleh markah tertinggi dalam tenaga mampan dalam setiap kategori.

    Pertandingan itu meliputi bidang sains, teknologi dan kejuruteraan yang dibukakan kepada semua sekolah, institusi akademik lanjutan dan teknikal, organisasi swasta dan kerajaan serta orang ramai.

    Dengan pelancaran rasmi CIPTA 2025, semua dokumen berkaitan boleh diperoleh di laman sesawang, cipta.utb.edu.bn. Pendaftaran mula dibuka dari 24 Mei 2024 hingga 27 Januari 2025.

    CIPTA 2025 mengalu-alukan minda-minda inovatif dari Negara Brunei Darussalam dan negara-negara ASEAN untuk mengetengahkan idea masing-masing bagi sebuah masa depan dan dunia yang lebih hijau dan mampan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda