Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rak buku berbentuk W serikan ruang kerja

    Oleh Amri HTZ –

    Sikap suka membaca buku merupakan amalan yang mampu menambah ilmu, mengukuhkan pemahaman, memperbaiki penguasaan kata selain berfaedah untuk mengisi masa lapang.

    Lebih banyak koleksi yang dimiliki, menjadikan individu tersebut kaya dengan pengetahuan. Namun dengan koleksi yang banyak, datang dengan masalah menempatkannya secara tersusun.

    Oleh itu bagi menyelesaikannya, DIY kali ini akan mereka rak khusus untuknya berbentuk W sekali gus berfungsi untuk menghias ruangan bilik.

    Antara barang diperlukan

    Papan
    Mesin pemotong kayu
    Mesin biscuit joiner
    Alat pengapit kayu
    Gam kayu
    Metal corner protector
    L shape angle bracket

    LAKAR BENTUK DAN UKURAN RAK

    Papan berketebalan 1 inci dalam projek ini akan dibahagikan kepada empat bahagian iaitu, A dengan panjang 39 inci untuk sekeping, B bagi dua keping dengan panjang 27 inci, C sekeping dengan panjang 13 inci, D sekeping dengan panjang 26 inci dan E enam keping dengan panjang 12 inci. Kesemua papan tersebut mempunyai lebar sekurang-kurangnya 9 inci. (Gambar 2)

    Mesin sliding miter saw merupakan pilihan bagi memotongkan kepingan papan disebabkan ia mudah dan selamat di mana material hanya diletakkan dan hanya mesin digerakkan. Ini berbeza dengan penggunaan mesin pemotong kayu jenis meja di mana material yang disorongkan. Jika material yang hendak dipotong berukuran besar, ia agak sukar untuk dilaksanakan lebih-lebih lagi mesin yang dikategorikan sebagai kegunaan rumah.
    (Gambar 3)

    Gambar 1. – Gambar oleh Olivierbricole
    Gambar 2. – Gambar oleh Olivierbricole
    Gambar 3. – Gambar oleh Olivierbricole
    Gambar 4. – Gambar oleh Olivierbricole
    Gambar 5. – Gambar oleh Olivierbricole
    Gambar 6. – Gambar oleh Olivierbricole
    Gambar 7. – Gambar oleh Olivierbricole
    Gambar 8. – Gambar oleh Olivierbricole
    Gmabar 9. – Gambar oleh Olivierbricole
    Gambar 10. – Gambar oleh Olivierbricole
    Gambar 11. – Gambar oleh Olivierbricole

    REKA RUANG KHUSUS BISCUIT ATAU DOWEL KAYU

    Setiap permukaan cantuman akan dimasukkan dengan biscuit kayu berfungsi sebagai pasak. Biscuit berukuran 2 inci akan digunakan dan ditempatkan pada bahagian tengah cantuman pada kedua-dua permukaan.

    Mesin khusus diperlukan untuk melakukannya namun dowel kayu juga boleh digunakan jika alat sedemikian tidak dimiliki.

    Untuk menetapkan kedudukannya, dowel jig boleh digunakan bagi mempercepatkan proses. Melakukannya secara manual, tanpa dowel jig, hanya memerlukan awda menandakan kedudukan dan menebuknya menggunakan mata gerudi. (Gambar 4)

    CANTUM MENGIKUT URUTAN

    Setelah kesemua permukaan cantuman berjaya ditebuk dengan ruangan biscuit atau dowel, kini awda hanya perlu mencantumkan setiap bahagian.

    Isikan ruangan dowel dan sapukan permukaan cantuman dengan gam kayu dan kekalkan kedudukannya menggunakan alat pengapit kayu. Mulakan dengan kayu bahagian C, E1, B2 dan D. (Gambar 5)

    Setelah itu, cantumkan papan bahagian A untuk melengkapkan bahagian pertama cantuman.

    Kekalkan kedudukannya sekurang-kurangnya 12 jam sebelum beralih kepada proses mencantumkan bahagian lainnya. (Gambar 6)

    Setelah gam langkah pertama cantuman mengering, kini awda boleh meneruskan langkah mencantumkan kayu kedua iaitu papan bahagian E4, E5, E6 dan B1. Sekali lagi, ketika alat pengapit kayu telah diketatkan, biarkan gam mengering selama 12 jam. (Gambar 7)

    ANGLE BRACKET KUKUH STRUKTUR REKAAN

    Bagi memastikan kesemua cantuman benar-benar kukuh, angle bracket berbentuk L dan T akan digunakan pada bahagian cantuman kayu belakang rekaan.

    Langkah ini juga boleh dilakukan untuk bahagian depan rekaan untuk menghiasinya selain mengukuhkan strukturnya. (Gambar 8)

    Permukaan rekaan kemudiannya akan dicat menggunakan varnis atau wood stain untuk mendapatkan hasil akhir yang diidamkan selain melindungi permukaan kayu.

    Bagi awda yang suka untuk mengekalkan warna permukaan asli kayu, cat jenis varnis disarankan manakala bagi yang suka ira-ira asli kayu dikekalkan namun mempunyai warna berlainan, wood stain merupakan pilihan. (Gambar 9)

    Bagi mengantungkan rekaan, metal corner protector 45mm x 45mm x 45mm tersedia akan dijadikan sebagai alat pendakap pada projek ini. (Gambar 10)

    Memandangkan fungsinya berlainan daripada tujuannya digunakan, lubang skru yang terlalu sedikit pada setiap permukaan akan ditambah sekurang-kurangnya tiga lubang setiap permukaan bertujuan bagi mengukuhkan kedudukannya.

    Dengan menetapkannya pada bahagian dalam rak, kini rekaan boleh digantungkan untuk menempatkan koleksi buku selain menghiasi ruang bilik. (Gambar 11)

    Tip rekaan

    Selain papan biasa, papan lapis dengan ketebalan sama juga boleh digunakan namun ia pada kebiasaannya sedikit berat berbanding papan natural.

    Bagi awda yang merasakan sukar untuk menggunakan teknik cantuman secara pasak, skru juga boleh digunakan melalui bahagian sisi papan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda