Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Real Madrid alu-alukan Mbappe

    MADRID, 16 JULAI – Selepas meraikan kejayaan pasukan Sepanyol di Kejohanan Euro 2024, peminat Real Madrid dapat meneruskan kegembiraan selepas bintang Perancis, Kylian Mbappe secara rasminya diperkenalkan di Stadium Santiago Bernabeu.

    Dengan kehadiran kira-kira 85,000 peminat, stadium itu akan dipenuhi untuk penampilan pertama Mbappe di mana kehadiran mereka dijangka mengalahkan rekod yang dicipta 15 tahun lalu oleh Cristiano Ronaldo.

    Tiket yang dijual secara percuma, telah dibeli dengan pantas oleh beberapa peminat yang dilaporkan cuba untuk menjualnya semula bagi mengambil kesempatan daripada kehadiran penyerang terbaik dunia itu.

    Pada sebelah pagi, Mbappe akan menandatangani kontrak lima musim dengan presiden Real, Florentino Perez, sebelum memasuki stadium pada tengah hari (1000 GMT) untuk menyambut peminat dan seterusnya akan mengadakan sidang media.

    Walaupun rakan sepasukan baharunya memulakan latihan kelmarin, pemain penyerang itu yang mengetuai Perancis semasa Euro akan diberikan cuti beberapa hari lagi sebelum memulakan musimnya di ibu negara Sepanyol itu.

    Pakar perubatan kelab akan memeriksa lagi hidungnya yang patah semasa Perancis menang 1-0 ke atas Austria 18 Jun lalu pada peringkat kumpulan, walaupun Perancis kemudiannya tersingkir di separuh akhir oleh Sepanyol.

    Bagi Mbappe dan Real Madrid, ia adalah kemuncak perhubungan yang telah lama ditunggu-tunggu.

    Pemain berusia 25 tahun itu akan memakai jersi nombor sembilan yang mula dijual Khamis lalu di kedai Real. – AFP

    Presiden Real Madrid, Florentino Perez semasa memperkenalkan Mbappe kepada peminat di stadium Santiago Bernabeu di Madrid pada 16 Julai. Mbappe telah menandatangani kontrak selama lima tahun bersama Real Madrid.– AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda