Friday, May 17, 2024
28.7 C
Brunei

    -

    Revolusi pertanian: Menghadapi kemarau dengan sains

    MARCHOUCH, MAGHRIBI – Di tengah-tengah Maghribi yang disinari cahaya matahari, para saintis sedang memupuk masa depan di mana tanaman-tanaman tahan lasak menghadapi kemarau tanpa henti, kini dalam tahun keenam.

    “Lihat bulir-bulir gandum yang cantik ini,” kata Wuletaw Tadesse Degu, ketua pembiakan gandum di Pusat Penyelidikan Pertanian Antarabangsa di Kawasan Kering (ICARDA).

    “Perbezaan dalam kualiti antara ladang kami dan yang lain sangat ketara,” katanya sambil menunjuk ke arah ladang yang subur di Marchouch, selatan Rabat, yang sangat berbeza dengan tanah tandus di tempat-tempat lain.

    Menjelang 2040, Maghribi bersedia untuk menghadapi tekanan air yang ‘sangat tinggi’, ramalan membimbangkan daripada Institut Sumber Dunia, sebuah organisasi penyelidikan bukan untung.

    Perangkaan daripada bank pusat negara Afrika Utara itu memberikan gambaran yang suram.

    Satu delegasi dari Pusat Serantau IRNA untuk Penyelidikan Pertanian di Rabat melawat ladang di wilayah Marchouch di barat laut Maghribi pada 18 April lalu. – AFP
    Seorang penyelidik dari ICARDA memegang beg benih berdaya tahan di wilayah Marchouch pada 18 April. – AFP
    Beg benih berdaya tahan dari Pusat Penyelidikan Pertanian Antarabangsa di Kawasan Kering (ICARDA) disimpan dalam kotak di wilayah Marchouch di barat laut Maghribi pada 18 April 2024. – AFP
    Seorang penyelidik dari ICARDA meneliti tanaman di ladang di wilayah Marchouch. – AFP

    Kawasan penanaman di seluruh negara itu dijangka menyusut kepada 2.5 juta hektar pada 2024 berbanding 3.7 juta tahun lepas, dengan hasil bijirin berkurangan lebih separuh kepada 25 juta kuintal (2.5 juta tan) dalam tempoh yang sama.

    “Adalah penting untuk menggunakan benih berdaya tahan dan menggunakannya secepat mungkin,” kata Tadesse, yang pusatnya baru-baru ini merasmikan bank gen tumbuhan.

    Misi Tadesse adalah untuk membangunkan genotip yang bukan sahaja mampu bertahan kemarau dan panas tetapi juga mengeluarkan hasil yang banyak.

    Tahun lepas, ketika negara itu bergelut, Marchouch mencapai hasil empat tan sehektar dengan hanya 200 milimeter hujan.

    Pengairan terkawal dan teknik penyemaian strategik berada di sebalik revolusi pertanian itu.

    Untuk memaksimumkan pengeluaran, para petani sedang bereksperimen dengan masa penanaman dan pengairan yang bijak.

    Dengan hanya 10 milimeter air, jika digunakan dengan teliti, boleh mengubah tanah tandus menjadi ladang yang subur.

    Barli juga telah menyaksikan kebangkitan semula, dengan hasil melonjak daripada 1.5 kepada 2 tan sehektar tahun lepas, hasil genotip pintar iklim, kata Miguel Sanchez Garcia, pakar barli di ICARDA.

    Pusat itu, yang beroperasi di 17 buah negara di Afrika dan Asia, berkata bahawa ia telah membangunkan 30 ‘varieti elit’ bijirin.

    Kebanyakannya dihasilkan di Maghribi dengan membiak genotip gandum liar dengan leluhur yang berbeza, kata penyelidik genetik ICARDA, Ahmed Amri.

    Pihak berkuasa pertanian Maghribi meluluskan enam varieti gandum dan barli baharu tahun lalu, tetapi berdepan halangan-halangan birokrasi.

    Proses kelulusan berlarutan, menghalang pengagihan varieti baharu tepat pada masanya kepada petani, kata penyelidik-penyelidik di pusat itu, menyaksikan perjalanan lima tahun daripada kelulusan kepada benih sedia pasaran.

    “Sistem pensijilan mengambil masa terlalu lama dan harus disemak dengan cepat,” kata Moha Ferrahi, ketua pemuliharaan dan penambahbaikan sumber genetik di Institut Penyelidikan Pertanian Negara.

    Ferrahi juga menekankan kekurangan penglibatan daripada syarikat-syarikat swasta dan petani yang memilih ‘benih asing untuk mendapat pulangan pelaburan yang lebih cepat manakala benih-benih tidak disesuaikan dengan iklim Maghribi.’

    Namun ramai yang melihat ruang untuk penambahbaikan, walaupun di negara yang dilanda kemarau di mana purata rakyat menggunakan kira-kira 200 kilogram gandum setahun – jauh melebihi purata dunia, menurut angka rasmi.

    “Tidak seperti negara-negara seperti Mesir atau Habsyah, Maghribi telah memilih untuk meliberalisasikan pasarannya,” kata penyelidik Amri, bermakna pihak berkuasa tidak mempunyai kawalan ke atas varieti yang dipilih oleh petani.

    Tetapi Amri tetap yakin bahawa, ditambah dengan program pertanian kebangsaan, penggunaan meluas varieti berdaya tahan akan membantu mengimbangi kerugian yang semakin meningkat. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    12 terbunuh dipancar kilat di India

    NEW DELHI, 17 MEI - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan beberapa lagi mangsa cedera, kelmarin akibat dipanah petir di Bengal Barat, di timur India,...