Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    RM1.06 bilion untuk projek infrastruktur Sabah tahun ini

    KOTA KINABALU, 10 MEI – Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM1.06 bilion bagi membangunkan 224 projek infrastruktur di Sabah pada tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata projek itu antara lain melibatkan Jalan Luar Bandar (JALB), Jambatan Luar Bandar (JMLB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Projek Pemajuan Kawasan (PPK).

    Beliau berkata berdasarkan pengalaman terdahulu, terdapat banyak projek mengalami kekangan untuk perlaksanaan di Sabah, justeru kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri penting untuk mengatasi kekangan atau halangan yang dihadapi.

    “Keputusan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) projek RM50 juta ke bawah dilaksanakan kerajaan negeri, RM50 juta ke atas dilaksanakan KKDW dan agensi pelaksananya Jabatan Kerja Raya jadi penyelarasan ini mesti dilakukan.

    “Ini supaya pemegang taruh merasakan terdapat penyelarasan antara kerajaan negeri dan KKDW. Itu sebabnya kita panggil mesyuarat untuk selaraskan antara menteri atau exco menjaga luar bandar ini supaya kita dapat bersama-sama membantu kami bagi melaksanakannya,” katanya lagi.

    Ahmad Zahid berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-exco Luar Bandar (MEXCLUB) yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim.

    Sementara itu, Ahmad Zahid berkata penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan negeri penting bagi memastikan semua projek pembangunan yang diberikan kepada kerajaan negeri di seluruh negara dapat disegerakan serta berjalan lancar.

    Memberikan contoh, beliau berkata sesuatu projek diluluskan hanya boleh dilaksanakan setelah dua hingga tiga tahun kerana ia bergantung kepada beberapa faktor antaranya konsultan dan tender terbuka yang mengambil masa lama.

    Menurut beliau, terdapat projek telah diluluskan sebelum kerajaan MADANI masih belum dapat dilaksanakan kerana prosedur digunakan tidak telus, justeru KKDW terpaksa mendapatkan kaedah pelaksanaan melalui Kementerian Kewangan berdasarkan tatakelola yang betul. – Bernama

    Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media di Pacific Sutera, Kota Kinabalu kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda