Monday, October 7, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Roche guna peranti AI bantu pesakit diabetes tidur nyenyak

    ZURICH, 9 JULAI – Roche, firma farmaseutikal terbesar Swiss, mengumumkan hari ini mereka akan mula memasarkan peranti yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meramalkan kemungkinan paras gula darah rendah pada waktu malam, sekali gus membantu penghidap diabetes tidur dengan tenang.

    Diabetes adalah penyakit kronik dan metabolik disebabkan paras gula darah yang tinggi dalam badan dan dirawat dengan suntikan insulin. Penghidap juga boleh menghadapi masalah dengan paras gula darah rendah dan hipoglisemia pada waktu malam sehingga mengganggu tidur mereka – sesetengah mereka memerlukan intervensi perubatan.

    Roche berkata bahawa alat pemantau glukosa berterusan terbaharu mereka, sensor yang boleh dipakai, mengambil bacaan paras gula darah setiap lima minit dan dipadankan dengan aplikasi AI.

    “Algoritma ramalan berintegrasi AI menandakan risiko hipoglisemia dalam tempoh 30 minit akan datang, meramalkan secara berterusan bagaimana paras glukosa akan berkembang dalam tempoh dua jam akan datang dan menganggarkan risiko hipoglisemia nokturnal,” katanya.

    Teknologi itu membolehkan ‘intervensi proaktif sebelum paras glukosa memerlukan perhatian segera dan direka untuk mengurangkan kebimbangan tentang hipoglisemia waktu malam dan menurunkan risikonya,’ tambah Roche.

    Roche berkata algoritma ramalan AI mengatasi keperluan prestasi tinggi dari segi ketepatan dan sistem itu memenuhi piawaian kesihatan dan keselamatan Eropah.

    Walaupun aplikasi AI generatif seperti ChatGPT mendapat perhatian awam yang paling banyak, AI semakin digunakan dalam pelbagai bidang seperti terjemahan bahasa dan pengenalan imej, termasuk membantu profesional perubatan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda