Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak, Selangor buat perhitungan final futsal

    KOTA SAMARAHAN, 21 OGOS – Sarawak dan Selangor akan membuat perhitungan dalam pentas final futsal Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas menewaskan lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir hari ini.

    Pada aksi di Stadium Tertutup Kota Samarahan, pasukan tuan rumah yang dibimbing Faizal Zamri mempamerkan aksi bertenaga menumpaskan Perak 7-3.

    Pemain tengah Bumi Kenyalang, Asyraff Zakaris paling mencuri tumpuan apabila menjaringkan hatrik dan mencetak gol seawal minit ketiga perlawanan sebelum menggandakan jaringan seminit kemudian.

    Skuad Perak yang dibimbing Ali Mahat tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan dan merapatkan kedudukan menerusi Abdul Hadi Muhamad Azhan juga pada minit keempat sebelum penyerang Sarawak, Muhammad Nazir Mahdini melebarkan kedudukan 3-1 pada minit ke-10.

    Tersentak dengan gol itu, Perak kembali memperkemas permainan dan berjaya menjaringkan dua gol menerusi Mohamad Amirul Aiman bin Mohamad Hamdan pada minit ke-12 dan kapten Matias Denisan pada minit ke-13 untuk kedudukan terikat 3-3 pada separuh masa pertama.

    Babak kedua menyaksikan Sarawak menguasai sebahagian besar perlawanan sekali gus menambah empat lagi gol menerusi Asyraff (22), gol sendiri pemain tengah Perak Danish Syaufi Firhan Ramlie (30), Mohamad Syahmi Suhardi (38), dan Mohamad Nazwan Airil Mohamad Haykal pada minit ke-39 untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda