Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Savinho mahu cipta sejarah

    LONDON, 5 OGOS – Penyerang baharu Manchester City dari Brazil, Savinho telah berjanji untuk mencipta sejarah bersama juara Liga Perdana itu.

    Savinho ditandatangani dari Troyes pada harga AS$38 juta dengan kontrak lima tahun pada Julai selepas peranannya yang cemerlang sebagai pemain pinjaman di Girona musim lalu.

    Pemain berusia 20 tahun itu membantu pasukan Sepanyol layak ke Liga Juara-Juara, tetapi mempunyai sasaran yang lebih besar dalam tempoh beliau di Manchester.

    “Saya sangat gembira dan berbesar hati berada di sini. Saya tidak sabar untuk memakai jersi itu, turun ke padang dan menunjukkan kepada awda apa yang boleh saya lakukan,” katanya.

    “Saya dapat melihat diri saya sebagai sebahagian daripada kumpulan ini dan saya akan beraksi dengan sebaik mungkin untuk Manchester City.

    Savinho memegang jersi baharunya semasa diperkenalkan di Stadium Etihad di Manchester, utara England, pada 4 Ogos. – AFP

    “Apa yang saya mahukan adalah bekerja keras dengan jurulatih dan rakan sepasukan supaya saya boleh meningkatkan prestasi saya.

    “Saya gembira dapat melayakkan diri ke Liga Juara-Juara bersama Girona. Kini tumpuan saya adalah pada Manchester City.”

    Skuad kendalian Pep Guardiola telah memenangi enam daripada tujuh gelaran Liga Perdana terakhir, termasuk empat yang terkini.

    Jika terdapat sebarang keraguan tentang matlamat City selepas kejayaan besar, Savinho telah berjanji untuk memberikan semangat bagi merangsang usaha mereka untuk meraih gelaran Liga Juara-Juara yang kedua.

    “Ia adalah halaman baharu dalam sejarah dan saya gembira untuk bermain dalam Liga Juara-Juara bersama Manchester City. Saya mahu meneruskan pencapaian saya bersama Girona musim lalu,” katanya.

    Savinho memuja bekas pemain sayap City, Riyad Mahrez ketika masih muda dan telah memilih untuk menyarung jersi nombor 26 pemain Algeria itu di Stadium Etihad. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda